NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dasar MBI: Kelantan Memimpin Perubahan


Dalam tempoh 10 tahun pertama, dasar-dasar Islam yang diperkenalkan di Kelantan, yang dahulunya menerima kritikan keras dari pelbagai pihak mula diakui kebaikannya. Islamophobia yang menghantui rakyat Malaysia selama ini telah berjaya dipecahkan apabila mereka melihat sendiri bagaimana dasar Membangun Bersama Islam (MBI) telah berjaya menjadi model pentadbiran awam yang berkesan di Kelantan.

Kejayaan Kelantan menampilkan model pentadbiran Islam telah berhasil mengatasi model Penerapan Nilai-nilai yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1983. Ramai peneliti menganggap Islamisasi Kerajaan Pusat ketika itu hanyalah kosmetik dalam menghadapi era kebangkitan Islam pada dekad 1980-an. Di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan dibantu oleh pasukan Exco Kerajaan Negeri di kalangan ulamak seperti Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Timbalan Menteri Besar), Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Idris Ahmad, Kelantan telah menerapkan perlaksanaan Islam di dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang, dengan hasrat melaksanakan seluruh syariat Islam. 

Kejayaan Kelantan memimpin perubahan ini boleh dilihat daripada dasar-dasar Kerajaan Negeri yang ditiru oleh Kerajaan Pusat. Antara pembaharuan yang dibuat di Kelantan selepas 1990, yang kemudiannya menjadi ikutan Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri yang lain ialah:
I. Sistem rumah minimum tiga bilik untuk mewujudkan keluarga yang tersusun. Sebelum ini Malaysia mengamalkan rumah dua bilik. Kelantan menetapkan rumah tiga bilik - bilik ibu bapa, bilik anak lelaki dan bilik anak perempuan.
II. Cuti dua hari seminggu pada Jumaat dan Sabtu. Hari Jumaat ditetapkan sebagai hari ilmu dan Sabtu sebagai hari keluarga. Kerajaan Pusat turut menambahkan cuti dari sehari seminggu kepada cuti Sabtu dan Ahad.
III. Sistem gadaian Islam untuk menghapuskan riba dalam amalan perekonomian rakyat. Pajak gadai ar-Rahn yang ditubuhkan oleh Kelantan telah ditiru oleh Terengganu dengan menubuhkan Muassasah Gadaian Islam, sebelum YAPIEM, Bank Islam dan Bank Rakyat memperkenalkan ar-rahnu.

IV. Penghapusan riba dan perbankan Islam. Kelantan telah menetapkan supaya semua bank yang tidak menawarkan produk Islam tidak dibenarkan beroperasi di Kelantan. Akibatnya, Bank Negara telah memperkenalkan Islamic Window dan Islamic Desk di bank-bank, sebelum Sistem Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) diwujudkan pada 1994. Akhirnya muncul bank-bank Islam.

V. Cuti dua bulan untuk kakitangan yang bersalin, menggantikan sistem cuti lama selama 42 hari sahaja. Dasar ini telah membolehkan ibu memberi susu kepada anak mereka lebih lama dan dapat mengukuhkan sistem kekeluargaan. Dasar ini turut diikuti oleh Kerajaan Pusat kemudiannya.
VI. Pengharaman judi dan penghapusan lesen premis judi telah diikuti oleh Kerajaan Sarawak. 
VII. Dan dasar-dasar lain lagi.

Antara usaha terbesar Kerajaan Kelantan pada dekad pertama ini ialah menggubal Rang Undang-undang Kanun Kesalahan Jenayah Syariah II Kelantan 1993. Enakmen ini mengandungi kod bagi kesalahan jenayah Islam meliputi hudud, qisas, diyat dan takzir. Walau bagaimanapun, enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana dihalang oleh Kerajaan Pusat. Atas asas itu, Kelantan mengadakan Sambutan Hari Hudud setiap tahun bagi menjelaskan kepada rakyat kepentingan penerapan undang-undang jenayah syariah. Hari ini, kod undang-undang ini telah dicontohi oleh Aceh dan Brunei.

Usaha-usaha yang dibuat oleh Kelantan melalui dasar MBI dalam tempoh 10 tahun pertama ini telah meletakkan satu asas yang penting ke arah pengukuhan perlaksanaan Islam bagi dekad-dekad berikutnya. Lebih menarik lagi, apabila Kelantan mula menjadi model terhadap pentadbiran baik (good governance) dan pembaharuan pentadbiran berasaskan Islam, yang kemudiannya menjadi ikutan kerajaan-kerajaan lain.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo