NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bajet 2021 : KKMM Cadang Perkhidmatan Internet Disenarai Sebagai Utiliti Awam

KUANTAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mencadangkan perkhidmatan internet disenaraikan sebagai utiliti awam dalam Bajet 2021 yang akan dibentangkan 6 November ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, cadangan itu antara usaha untuk memperluas dan mempertingkatkan akses ke seluruh negara selain bertujuan memastikan infrastruktur untuk capaian internet dapat dibangunkan dengan lebih cepat.

Katanya, jika cadangan diterima, perkhidmatan internet akan disenaraikan sebagai utiliti awam ketiga selepas air dan elektrik.

"Ia penting kerana kemudahan internet juga sepatutnya dimasukkan oleh pihak pemaju dalam permohonan kebenaran merancang bagi pembangunan sesuatu kawasan seperti bekalan air dan elektrik,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Pusat e-Dakwah Parlimen Indera Mahkota di Masjid Tengku Panglima Perang, Kampung Sungai Karang Pantai di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu dan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Datuk Badlishah Alauddin.

Saifuddin berkata, pembangunan kemudahan internet termasuk pembinaan menara komunikasi juga memerlukan perancangan awal.

"Ketika ini, infrastruktur kemudahan internet biasanya akan dipasang selepas projek pembangunan lain selesai menyebabkan berlaku masalah lokasi terutama untuk mendirikan menara komunikasi," katanya.

Sementara itu, Saifuddin turut mencadangkan industri kreatif negara diperkasakan sebagai satu ekonomi yang perlu dilihat dalam skop lebih luas.

Justeru katanya, untuk Bajet 2021, Dana Kandungan Digital dapat dikekalkan seperti bajet tahun ini iaitu sebanyak RM500 juta.

"Kita akui, dana ini masih berbaki RM200 juta kerana masalah tiada perancangan besar untuk tahun ini.

"Bagaimanapun kita sedang mengatur beberapa perancangan untuk memperkasakan industri filem dan muzik negara termasuk industri nasyid," katanya.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/107634/BERITA/Nasional/Cadang-perkhidmatan-internet-disenarai-sebagai-utiliti-awam

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo