NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Angka-Angka Yang Perlu Diperhatikan - Syahir Sulaiman


Unprecedented situation requires unprecedented measures

Tidak hairanlah COVID-19 digelar sebagai ‘reset-button’ kepada dunia.

Bermula dengan pandemik yang menjejaskan kesihatan awam, COVID-19 telah bertukar menjadi pandemik yang melumpuhkan sistem ekonomi, sosial dan politik di seluruh dunia.

Malaysia tidak terkecuali, dan kita tiada pengalaman untuk menghadapinya.

Dalam menghadapi normal baharu ini, fokus perlu diberikan terhadap angka-angka yang menjadi indikator kesungguhan dan keupayaan kita dalam meningkatkan tahap kesihatan awam, pemulihan ekonomi, dan keselamatan sosial yang terjejas akibat pandemik COVID19.

Memetik laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 5/2020 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM):

1. Ekonomi dunia telah mengalami perubahan drastik pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19 dan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesannya. Ekonomi Malaysia jatuh 8.3 peratus pada separuh pertama 2020 berbanding tempoh yang sama tahun 2019.



2. Pemulihan ekonomi merupakan salah satu komitmen kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat sejak pandemik COVID-19 melanda negara. Pada 23 September 2020, kerajaan telah mengumumkan Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) yang merupakan kesinambungan pakej-pakej rangsangan ekonomi terdahulu (PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan PENJANA) untuk memastikan pemulihan ekonomi yang berterusan.

3. Secara umumnya, ekonomi Malaysia dilihat mula berkembang positif apabila nilai jualan Perdagangan borong dan runcit mencatatkan RM108.7 bilion pada Julai 2020, iaitu terus memulih daripada -8.4 peratus (Jun 2020) kepada -3.5 peratus.

4. Ini merupakan nilai jualan tertinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan pandemik COVID-19. Manakala Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pulih 1.2 peratus pada Julai setelah mencatatkan pertumbuhan negatif selama empat bulan berturut-turut.

5. Kadar pengangguran pada Ogos 2020 kekal pada 4.7 peratus dengan pengurangan kecil bilangan penganggur kepada 741,600 orang berbanding bulan sebelumnya. Tren pemulihan yang dicatatkan adalah untuk bulan ketiga berturut-turut selepas merekodkan kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei dan 4.9 peratus pada Jun.

6. Dalam usaha melonjakkan perniagaan, kerajaan telah memperuntukkan RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA kepada peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Sehingga Ogos 2020, sebanyak RM426.2 juta telah disalurkan kepada PKS yang berkelayakan.

7. PENJANA turut memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu meringankan beban majikan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Program ini membolehkan majikan meneruskan operasi perniagaan tanpa pemecatan pekerja. Ianya layak kepada sektor pelancongan dan perniagaan yang dilarang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sehingga Ogos 2020, sebanyak RM10.38 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.62 juta pekerja.

8. Pakej KITA PRIHATIN melibatkan peruntukan berjumlah RM10 bilion yang merangkumi pemberian tunai tambahan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7.0 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas Tambahan bernilai RM600 juta. Secara keseluruhan, pakej-pakej rangsangan ekonomi ini bernilai RM305 bilion.

9. Terdapat pelbagai segmen industri yang dapat dimanfaatkan ketika negara sedang mengurangkan kebergantungan kepada permintaan luaran dan menyesuaikan semula fokus ke arah merangsang industri tempatan. Antara industri yang dapat dipertingkatkan adalah sektor Pembinaan yang menyumbang kurang daripada 5 peratus kepada ekonomi. Sektor ini mempunyai rantaian ke belakang dan kesan pengganda yang tinggi dan mempunyai kemampuan untuk merangsang sektor lain ke arah memacu pertumbuhan ekonomi.

10. Sementara itu, Indeks Pelopor (Leading Index) menunjukkan peningkatan tahunan selama tiga bulan berturut-turut. IP berkembang 7.7 peratus kepada 109.2 mata pada Julai 2020. Lonjakan ketara IP menunjukkan pemulihan ekonomi pasca pandemik dalam jangka masa terdekat dan menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik menjelang 2020.

11. Namun, isyarat ini perlu ditafsir dengan berhati-hati kerana ekonomi terdedah kepada gelombang wabak yang mungkin kembali dan ketidakpastian prospek ekonomi global pada masa hadapan.

Pastinya inilah angka-angka sosio-ekonomi yang perlu diberikan perhatian, di samping indikator terpenting seperti jurang pendapatan, kemiskinan, keberhutangan, gejala sosial dan jenayah yang menjejaskan kesejahteraan hidup warga bandar dan luar bandar keseluruhannya.

Cukuplah perhatian kita teralih kepada angka-angka politik yang tidak dapat dipastikan keabsahannya.


#KitaPrihatin


Syahir Sulaiman, Kuala Lumpur
16 Oktober 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo