NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Air Di Selangor : Dulu Tiada Bayaran Sekarang Tiada Air



Oleh : Ustaz Dr Muhamad Zuhaili Bin Dr Hj Saiman

Pemberian Air Percuma Secara Bersasar Adalah Kegagalan Awal Kerajaan Negeri

Kejayaan Negeri Selangor dahulu di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi ukuran perbandingan dengan kerajaan negeri Selangor hari ini di bawah teraju Dato Seri Amiruddin (zaman Pakatan Harapan). Kelihatan pakej prihatin dan kebajikan dalam merakyatkan ekonomi Selangor yang dahulu hanya tinggal cerita indah di masa kini. Terlalu banyak perubahan dan perbezaan dan antara yang ketara ialah penurunan bajet dan juga krisis gangguan air ekoran pencemaran sungai yang kerap terjadi menjadi bebanan teruk perlu dipikul oleh Kerajaan Negeri Selangor hari ini.

Dahulu, pemberian air percuma 20 meter padu yang dimulakan di Selangor pada 2008 di bawah teraju Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi sebutan dan berjaya menjadi ikutan kepada beberapa negeri lain juga melakukan perkara yang sama. Malahan pemberian percuma adalah kepada semua rakyat di negeri Selangor tanpa ada syarat tertentu.

Menteri Besar Selangor Dato Seri Amiruddin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 mengumumkan pemberian air percuma di Selangor akan ditambah daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan. Namun skim pemberian air percuma itu hanya akan dinikmati kepada golongan sasar yang berada dalam kalangan B40 iaitu mereka yang berdaftar dan mempunyai data dengan program E-Kasih.

Penjimatan Kerajaan Negeri kononnya menjadi alasan yang mana hakikatnya Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kos besar operasir air selepas Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan membayar RM2.55 bilion kepada syarikat pemegang konsesi dalam penstrukturan semula industri air sebelum ini. Ditambah lagi rizab Selangor di bawah pada zaman Pakatan Harapan jatuh merudum dari sekitar RM3.3 bilion ketika era Tan Sri Khalid kepada hanya RM2.3 bilion.

Kerap Gangguan Air, Bukti Kerajaan Negeri Terus Gagal Mentabir

Tahun 2019 dan 2020 yang “menyeramkan” buat rakyat negeri Selangor terutama golongan rakyat marhaen yang duduk di bangunan flat bertingkat-tingkat malah golongan peniaga yang premis mereka terjejas ekoran air seperti kedai dobi, kedai makan dan apa sahaja perniagaan yang orientasi asasnya bersumberkan air apabila terlalu kerap berlaku gangguan air ekoran pencemaran sungai di Selangor disebabkan sikap kilang yang tidak bertanggungjawab.

Negeri Selangor yang pesat dengan kegiatan ekonomi dan pusat tarikan kerjaya “dihantui” kegagalan pengurusan dalam penyelesaian isu air dengan baik sebenarnya mencerminkan betapa lemahnya pengurusan kerajaan negeri Selangor pada hari ini. Dahulu Selangor boleh berbangga dengan merakyatkan ekonomi namun kini tiada.

Tahun 2019 sahaja sebanyak 10 kali gangguan air berlaku yang punca utamanya ialah pencemaran di loji air. Rekod gangguan air pada tahun 2019 seperti berikut :

11 Januari 2019 : sebanyak 20 kawasan yang terlibat alami gangguan kerana kerja-kerja pembaikan kebocoran serius paip air mentah dan henti tugas sementara loji Rawatan Air Bukit Nanas.

19 Mac 2019 : bekalan air di 59 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Sepang terjejas akibat gangguan bekalan eletrik di beberapa rumah pam di sekitar Seri Kembangan.

14 April 2019 : gangguan sehingga 86 jam berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambah baikan perkakasan sistem bekalan eletrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor fasa 2.

9 Mei 2019 : sebanyak 65 kawasan di daerah Klang terjejas ekoran 3 paip utama pecah.

3 Jun 2019 : sebanyak 84 kawasan di daerah Klang dan 9 kawasan di daerah Kuala Langat terjejas ekoran insiden paip pecah di jajaran paip utama 1800mm di Setia Alam, Shah Alam.

23 Julai 2019 : gangguan beberapa kawasan dk daerah Petaling, Klang / Shah Alam, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur bermula 23 sehingga 26 Julai disebabkan kerja penambah baikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor fasa 1.

28 September 2019 : sebanyak 204 kawasan yang melibatkan 372 031 pemegang akaun di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran pencemaran bau di loji Rawatan Air di Semenyih.

4 Oktober 2019 : 1143 aduan kes air berbau. Kerja pencucian di 29 rangkaian dari 31 kawasan aduan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

29 Oktober 2019 : 120 kawasan di Gombak dan 57 di Kuala Lumpur melibatkan 119630 akaun pelanggan berdaftar mengalami gangguan air sementara selama 23 jam.

21 Disember 2019 : sebanyak 348 kawasan dengan akaun pengguna 328 957 di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Jika ditambah lagi dengan insiden ganggu air tahun 2020 sudah jelas menunjukkan keperitan rakyat negeri Selangor dalam isu yang terlalu kerap ini. Malah lebih malang buat rakyat Selangor di saat ketiadaan air, tiba-tiba terdapat pula siaran media “keseronokan” bemandi kolam di kediaman rumah Menteri Besar.

Gangguan Punca Pencemaran, Rakyat Mahu Hukuman Berat


Kekecewaam rakyat Selangor jelas terpampamg apabila isu operasi kilang haram diberi tempoh pemutiham yang panjang sehingga akhir tahun ini. Sedangkan jelas dalam isu operasi kilang haram ini beberapa aspek :

Operasi haram kilang iaitu tanpa lesen bukan baru bermula malah sudah bertahun lamanya. Maka tiada kewajaran dipanjang lagi tempoh pemutihan.

Operasi haram kilang yang menjadi punca pencemaran atau mempunyai rekod kesalahan tersebut perlu dijatuhkan hukuman lebih berat yang mencegah dan memberi pengajaran.

“Kelembutan” Kerajaan Negeri Selangor terhadap kilang punca pencemaran dilihat “kegagalan” kerana melebihkan pihak kilang berbanding kebajikan umum rakyat. Sampai bila mahu diberi muka kepada pengusaha kilang punca pencemaran sedangkan rakyat menanggung beban malah peniaga menanggung rugi yang tidak berganti.

Kegagalan pihak kilang mematuhi SOP dalam nyah sisa dan seumpamanya jelas dan perlu diambil tindakan tegas. Ini kerana sudah kerap berlaku malah ada yang melakukan pengulangan pencemaran dek sikap tidak bertanggungjawab. Kerajaan negeri Selangor perlu menjadi “hero” kepada rakyat bukannya seakan “pelindung” kepada pengusaha kilang.

Gangguan Air Isu Yang Turut Diluahkan “Kekecewaan” Oleh DYMM Sultan Selangor

Kenyataan akhbar DYMM Sultan Selangor pada 19 Oktober 2020 jelas menunjukkan isu gangguan air di Selangor turut mendapat perhatian besar dan bukan lagi isu yang boleh disembunyikan. Petikan yang berbunyi :

“Surat Baginda yang terkini mengenai isu gangguan bekalan air telah dihantar kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bertarikh 8 September 2020.

Dalam surat tersebut, Baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang Baginda kasihi.”

Petikan di atas jelas menjelaskan Baginda Sultam Selangor telah mengambil tindakan memberikan surat menyatakan syor dalam menyelesaikan isu ini. Malah jelas tampak “kekecewaan” di reaksi DYYM Sultan Selangor menerusi petikan di atas dalam isu ini kerana yang menanggung beban derita ialah rakyat negeri Selangor ini.

Kerajaan negeri semestinya menjadikan isu ini keutamaan yang perlu diberikan perhatian bagi langkah penyelesaian yang segera dan tuntas. Kegagalan demi kegagalan pengurusan menyelesaikan masalah ini hanya beban kepada rakyat dan menjatuhkan imeh negeri Selangor sebagai negeri maju dan pesat membangun.

Pembelian Dron Berjumlah RM 2 Juta, Tidak Selesai Kepada Punca Masalah

Apa sahaja perbelanjaan yang digunakan jika ia bawa kebaikan umum dan berkemampuan maka ia dipersetujui. Namun isu pembelian dron bagi tujuan pemantauan dalam kononnya kerajaan negeri Selangor untuk isu air ini terdapat beberapa aspek yang perlu dinilai :

Kos pembelian dan kos operasi adakah sebesar itu diperlukan. Sedangkan sepatutnya selepas kerajaan negeri Selangor membayar RM2.55 bilion kepada syarikat pemegang konsesi dalam penstrukturan semula industri air sebelum ini menjadi pengurusan lebih baik tanpa memerlukan lagi kos-kos tambahan “kosmetik”.

Punca utama yang menjadi perhatian rakyat ialah operasi kilang haram. Dron hanya memantau untuk “pelaporan” pantas barangkali jila berlaku. Kita memerlukan solusi pencegahan untuk tidak berlaku.

Tarik semula keputusan lanjutan pemutihan kepada kilang haram dan pendekkan tempoh mungkin seminggu atau terpulang tempoh hari yang sewajarnya perlu dipertimbangkan. Rakyat mahukan tindakan tegas dan berat kepada pelaku salah yang menyusahkan lebih 1 juta pemegang akaun berdaftar.

Sumber: https://berita.pas.org.my/air-di-selangor-dulu-tiada-bayaran-sekarang-tiada-air-kredit-coretan-dari-negeri-selangor/



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo