NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

8 Staf Hospital Melaka Positif COVID-19

MELAKA: Lapan anggota perubatan Hospital Melaka disahkan positif Covid-19, bukannya 11 sebagaimana tersebar di media sosial semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Dr Ismail Ali berkata, 8 anggota perubatan itu kini menerima rawatan di hospital berkenaan, manakala kontak rapat mereka sudah disaring dan sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing, bukannya di hospital.

Katanya, perkhidmatan di Hospital Melaka tidak terjejas, sebaliknya diteruskan dengan pematuhan penuh SOP dan keseluruhannya 30 pesakit Covid-19 sedang dirawat di hospital itu.

Beliau berkata, Hospital Melaka merupakan hospital rujukan kes Covid-19 di Melaka, dan urusan di semua unit hospital berkenaan perlu melalui janji temu serta orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan di sana.

Mengulas lanjut, katanya, tiada penutupan wad, termasuk wad 1-1 di Hospital Melaka, sebaliknya pihak pengurusan hospital mengambil langkah mengawal pergerakan di semua wad bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan virus itu.

Ismail berkata, sebarang pertanyaan berhubung situasi semasa Covid-19 di Melaka boleh dibuat melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan Melaka dengan menghubungi 06-2345999 atau e-mel cprcmelaka@moh.gov.my.

Terdahulu, dakwaan wujud kluster membabitkan 11 kakitangan, jururawat, doktor di Hospital Melaka dan wad 1-1 ditutup untuk dijadikan wad kuarantin kakitangan positif Covid-19 tersebar di aplikasi WhatsApp.

Turut tular dakwaan hampir 30 petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka dijangkiti virus itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo