Terengganu Laksana Caj Percuma Wad Kelas 3 Oktober Ini - Dr Alias

KUALA NERUS, 21 September - Kerajaan negeri akan melaksanakan caj wad kelas tiga secara percuma kepada rakyat Terengganu yang menjadi pesakit wad ini tanpa mengira golongan di hospital milik kerajaan di seluruh negeri bermula Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, persetujuan telah dicapai antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri mengenai perkara ini.

"Insya-Allah pada 1 Oktober ini, satu memorandum persefahaman (MoU) dan majlis pelancaran bakal ditandatangani antara Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak KKM yang menyentuh kaedah pembayaran dan sebagainya.

"Semasa Kerajaan Pakatan Harapan memerintah sebelum ini, kita mempunyai sedikit kekangan kerjasama antara kedua pihak meskipun pelbagai cadangan mekasnisme pembayaran telah diperjelaskan serta peruntukan di peringkat negeri sudah pun diluluskan," jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta setahun untuk pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas tiga sebagaimana janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Keceriaan Merdeka di Padang Bola Taman Desa Jaya, Gong Pak Damat di sini baru-baru ini.

Hadir sama dalam program tersebut, Pegawai Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal (Bahagian Kerajaan Persekutuan) dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Desa Jaya, Mohd Norizu Ismail@Muda.

"Mewakili kerajaan negeri, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan YAB (Yang Amat Berhormat) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi peluang kepada kami untuk menunaikan satu lagi janji manifesto PRU14," ujarnya.

Untuk rekod, caj wad kelas tiga yang dibayar pesakit di hospital di negeri ini berjumlah RM3.89 juta dengan jumlah seramai 84,946 pesakit pada 2017 dan RM3.6 juta membabitkan 76,206 pesakit pada 2018.

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post