NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15 : BERSATU Terengganu Mohon Dua Parlimen, Lapan DUN

KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri memohon dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris, walaupun tiada sebarang rundingan pengagihan kerusi, BERSATU bersetuju PAS diberikan lebihan kerusi.

Razali berkata, BERSATU kini hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen Hulu Terengganu dan tiada kerusi DUN dimenangi calon BERSATU pada PRU lalu.

"Kita hanya minta dan mencadangkan PAS dapat memberi pertimbangan satu lagi kerusi Parlimen, selain mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Terengganu (untuk BERSATU).

"Sebagai parti dalam Perikatan Nasional (PN), kita juga mencadangkan lapan kerusi DUN diberikan kepada BERSATU untuk bertanding pada PRU akan datang," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) BERSATU berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai parti itu akan mendominasi kerusi di tiga negeri, iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah pada PRU akan datang.

Terengganu kini mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN.

Pada PRU-14 lalu, PAS menguasai enam kerusi Parlimen, iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu, manakala Barisan Nasional (BN) menang di Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, Parlimen Hulu Terengganu menjadi milik BERSATU selepas Ahli Parlimennya, Datuk Rosol Wahid menyertai parti itu pada Disember 2018.

PAS juga turut menguasai 22 daripada 32 DUN, manakala 10 lagi dimenangi BN.

Razali berkata, BERSATU bersetuju agar PAS mendapat lebihan kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu pada PRU akan datang.

"Kita hanya minta pertimbangan agar BERSATU diberikan satu kerusi DUN setiap Parlimen. Permintaan itu tidak melampau," katanya. - BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo