NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tahanan lokap IPD Lahad Datu kluster baharu covid-19, tujuh positif

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu wabak COVID-19 di negara ini iaitu Kluster Benteng LD, di Lahad Datu, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster berkenaan dikenal pasti hasil saringan terhadap tahanan baharu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu. 

"Setakat ini, seramai 50 orang tahanan telah disaring pada 28 Ogos dengan tujuh kes dikesan positif COVID-19 dan 43 individu adalah negatif," katanya pada sidang media perkembangan harian COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah positif itu enam adalah pendatang tanpa izin dan satu warganegara. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu. 

"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti. Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan," katanya. 

Bagaimanapun, punca jangkitan masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM mendapati nilai Rt atau R naught (R0) iaitu kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat meningkat sedikit. 

"Pada 26 Ogos, Rt yang dilaporkan adalah 0.74, namun kini ia telah meningkat sehingga 1.0," katanya. 

Dr Noor Hisham berkata KKM menyambut baik keputusan untuk menyekat kemasukan pemegang Pas Jangka Masa Panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina berkuat kuasa 7 September ini seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

"Masyarakat diminta untuk terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing dalam memerangi COVID-19 dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap komuniti, masyarakat dan negara," katanya. - Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo