NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda PAS Berperanan Penting Tingkat Fahaman Politik Golongan Belia - Abdul Hadi

KOTA BHARU, 12 Sept -- Pemuda PAS memegang peranan penting untuk meningkatkan fahaman politik dalam kalangan umat Islam khususnya golongan belia memandangkan mereka merupakan pengundi terbesar menentukan kerajaan melalui pilihan raya, kata Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata ini berikutan fahaman politik dalam kalangan umat Islam terutamanya anak muda, sangat lemah berbanding kaum lain.

“Walhal, Islam mewajibkan politik dalam perjuangannya tetapi kerana jahil agama, kita meninggalkan kewajipan yang besar ini. Semua nabi dan rasul tidak memisahkan politik daripada dakwah.

“Apa yang dilupakan ini menyebabkan undi kita kepada umat Islam sangat lemah kerana lemahnya fahaman politik, khususnya orang muda yang menjadi sasaran musuh-musuh Islam untuk mengheret mereka dengan kelekaan.

“Maka peranan Pemuda (PAS) sangat besar dan penting (dalam hal ini),” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ke-61 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di Pengkalan Chepa, dekat sini hari ini.

Abdul Hadi turut berkata PAS perlu mengukuhkan lagi kedudukan perjuangan parti yang berteraskan Islam untuk mendapat mandat rakyat secara langsung melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Muktamar DPPM ke-61 yang dihadiri kira-kira 400 perwakilan dari seluruh negara itu diadakan dalam suasana norma baharu dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Terdahulu semasa merasmikan persidangan itu,  Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata golongan belia semakin muak dengan situasi politik semasa sehingga mengakibatkan sebilangan mereka tidak lagi mengambil peduli mengenai perkembangan politik negara.

“Dalam menghadapi cabaran politik yang apa disebut carcamarba mutakhir ini menyebabkan suatu polemik baharu dalam kalangan mereka. Menurut kajian, 23 peratus mendapati pemuda telahpun rasa muak dengan situasi politik waktu ini,” katanya.

Beliau berkata perkara itu tidak menguntungkan mana-mana pihak kerana pemuda adalah pelapis pemimpin pada masa depan, justeru PAS, terutamanya DPPM harus menterjemahkan situasi politik yang sebenar menggunakan media baharu di samping menekankan agenda utama parti yang mengamalkan prinsip perpaduan semua kaum dan agama.

-- BERNAMA


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo