NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PBB Tidak Berhasrat Untuk Menyertai Semula BN


KUALA LUMPUR, 29 Sept —
 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, buat masa ini tidak berhasrat untuk menyertai semula Barisan Nasional (BN) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Naib Yang Dipertua Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini, parti itu berpendirian untuk kekal bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Sekarang kami bersama kerajaan Persekutuan dan bekerjasama erat dengan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan gabungan ahli-ahli Parlimen Bersatu, PAS, Umno dan juga komponen-komponen BN.

“Bagi kita apa yang penting ialah kita fokus kepada Sarawak sendiri dalam konteks pembangunan dan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963...kita akan kekal di bawah GPS tetapi akan bekerjasama dengan semua pihak,” kata Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021-2025 di sini hari ini.

PBB sebelum ini bertindak keluar daripada BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas.

Selain PBB, tiga parti lain dalam GPS ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

PRN Sarawak ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya ialah pada Julai tahun depan.

— Bernama    

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo