NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parti Muda ke mana?




Oleh Ahmad Abd Hamid

BEKAS Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) parti Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengemukakan permohonan kepada Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 17 September untuk mendaftarkan parti baharu tajaannya, Ikatan Demokratik Malaysia atau nama singkat ‘MUDA’.

Sesuai dengan nama parti, beliau menekankan, parti ini dipimpin oleh golongan muda. Jika diluluskan pendaftaran, ia akan menjadi parti orang muda yang pertama di negara ini. Justeru orang muda tanpa mengira keturunan, agama dan suku kaum berpeluang memimpin parti. Namun keahlian terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa had umur.

Parti ini dikatakan mempunyai 13 penaja. Struktur organisasi bakal diumumkan tidak lama lagi.

Sebagai sebuah parti yang berteras orang muda, matlamat parti tentunya menonjolkan kesegaran dan dinamik golongan muda yang lebih agresif dan progresif sebagai pemimpin. Wajah inilah yang hendak dipamerkan kepada ramai dalam meraih sokongan.

Belum jelas apakah sebenarnya takrif ‘muda’ yang diguna pakai oleh parti ini. Mereka dalam lingkungan umur berapa tahun dianggap muda, dan bila pula dianggap melewati umur muda?

Adakah muda ini ditakrifkan sebagai golongan belia? Kategori belia kini adalah mereka yang berumur 30 tahun ke bawah. Syed Saddiq sendiri, yang dilahirkan pada Disember 1992, kini berusia 28 tahun.

Ketika Ahli Parlimen Muar itu menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan, beliau mengusulkan cadangan had umur belia diturunkan kepada 30 tahun berbanding 40 tahun sebelumnya.

Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Julai 2019. Menurut Syed Saddiq, penurunan had umur ini adalah muktamad dan akan dikuatkuasa Disember 2021. Namun katanya, pada waktu ini pindaan terhadap akta itu harus bermula.

Gagasan parti orang muda memang nampak menarik, apatah lagi ia sebagai sesuatu yang baharu dalam politik Malaysia. Golongan muda mungkin berminat untuk menyertai parti ini yang dianggap sebagai platform untuk berpolitik dan mengasah kempimpinan.

Namun adakah ia akan benar-benar terikat kepada golongan muda sebagai pemimpin? Jika begitu, apa
jadi selepas mereka melewati umur tersebut? Adakah bermakna kepimpinan akan sering bertukar apabila yang muda mencecah usia ‘tua’?

Kalau ini berlaku tentulah proses mematangkan pemimpin akan kelihatan seperti sia-sia. Ini kerana pemimpin muda yang telah menimba pengalaman akan berlalu pergi apabila sampai umur. Pemimpin lain pula mengambil alih dan akhirnya melalui proses sama. Sampai bila akan dapat dibentuk barisan kepimpinan yang matang dan berpengalaman?

Juga mungkin timbul persoalan samaada satu parti khusus untuk orang muda ini boleh dianggap relevan jika matlamatnya untuk memberi peluang orang muda menceburi kancah politik dan menjadi pemimpin.

Ini kerana parti-parti politik yang ada pada hari ini sedia mempunyai sayap pemuda dan puteri. Tujuannya memberi ruang kepada golongan muda sama-sama menyumbang bakti dan pada masa sama membentuk barisan pemimpin pelapis.

Jika ada beza pun, MUDA akan mengumpulkan orang muda pelbagai kaum di bawah satu bumbung dibandingkan sekarang berteraskan parti secara individu baik Melayu, China, India atau pelbagai suku kaum lain.

Namun tidak wajar membuat apa-apa kesimpulan sebelum memberi peluang MUDA lahir dan bernafas. Mungkin ramai kini ghairah menunggu kelahirannya dan meneliti ke arah mana parti itu bergerak. Mampukah ia menarik sokongan? Mampukah ia bersaing dengan pelbagai parti sedia ada? Sama-sama tunggu dan lihat.

-BebasNews




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo