Negeri Sembilan Kekal Tidak Ikut Bubar DUN

SEREMBAN: Negeri Sembilan kekal dengan keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal walaupun sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, beliau berpandangan PRU-15 tidak akan berlaku dalam masa terdekat mengambil kira beberapa faktor termasuk mengambil kira pertembungan yang dilihat masih berlaku di antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Kita masih kekal, tidak akan ada pilihan raya malah saya juga yakin keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak menunjukkan akan berlakunya dalam tempoh segera.

“Dengan pertembungan BN dan PN itu juga seperti berlaku di Sabah, kalau betul pertembungan itu di Semenanjung pastinya mereka tidak akan suka dan itu juga faktor piihan raya tidak boleh berlaku dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin diadakan lebih awal sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya PRN Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan GRS membentuk kerajaan negeri yang baharu di Sabah, selepas memenangi 38 kerusi dalam PRN Sabah, 26 September lalu.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook menerusi wawancara eksklusif seperti disiarkan Utusan Malaysia hari ini pula berpandangan tiada alasan untuk DUN Negeri Sembilan dibubarkan ketika tempoh tidak sampai tiga tahun ketika mandat yang diberikan oleh rakyat adalah selama lima tahun.

Malah katanya, sekiranya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, ia akan menimbulkan banyak masalah termasuk risiko penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, tambah Aminuddin, masih berlakunya penularan Covid-19 ketika ini perlu dijadikan faktor supaya PRU-15 tidak diadakan lebih awal.

“Kita kena melihat bahawa faktor Covid-19 ini juga diberikan perhatian yang serius, kita tidak boleh disebabkan politik dan mahu buat pilihan raya lebih awal, kita tidak memikirkan apa yang berlaku kepada rakyat kita. Saya yakin PRU-15 dalam masa terdekat tidak sesuai untuk diteruskan, itu bagi pandangan saya,” katanya.

Ujarnya lagi, situasi politik hari ini adalah berbeza berbanding sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu dan sukar diramal mana-mana pihak yang boleh menang jika PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat.

“Bagi saya, jika PRU-15 dalam tempoh dua tahun setengah lagi, dan kita tunggu setahun lagi dan di situ kita boleh lihat pihak mana yang boleh kita anggap mempengaruhi undi rakyat.

“Sebenarnya, rakyat hari ini juga keliru dan dalam suasana politik semasa juga kita tidak tahu, sehari dua ini juga kita tidak tahu apa yang akan berlaku, cuma saya rasa mandat rakyat yang telah diberikan rakyat pada 2018 itu dipulangkan semula,” katanya. -UTUSAN
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post