Musa Aman Mendahului Senarai Pilihan Rakyat Sabah

Oleh : Geraldine Tong

PRN SABAH | Pengundian pada 26 Sept ini akan menyaksikan pertembungan pemimpin veteran dengan kemungkinan ada sehingga lima bekas ketua menteri berusaha untuk melakukan kemunculan semula.

Antaranya ialah bekas presiden parti Berjaya yang kini tidak berfungsi, Mohd Harris Salleh, dan bekas presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Chong Kah Kiat.

Turut menunjukkan minat untuk bersaing ialah seorang lagi bekas ketua menteri dan pernah menjadi pengerusi Umno Sabah, Salleh Said Keruak, serta Yong Teck Lee yang merupakan presiden Parti Progresif Sabah (SAPP).

Walaupun ada antara pemimpin veteran itu tidak menjadi calon dalam PRN nanti, mereka mungkin akan masih terbabit dalam persaingan dengan menyertai kempen dan memberi sokongan kepada parti atau calon tertentu.

Sikap itu dilihat mampu mempengaruhi keputusan PRN ini.

Sebagai contoh, bekas presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan, yang bersara dari politik pada 2018 kini nenyokongan cadangan parti itu menggunakan logo sendiri bukannya BN walaupun mereka merupakan merupakan komponan gabungan tersebut.

Bekas Adun Tambunan selama 10 penggal itu juga berkata di berasa gembira selepas bersara daripada politik dan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk kembali aktif dalam dunia itu.

Sebahagian besar bekas pemimpin politik berpengaruh yang menunjukkan minat ingin kembali ke arena politik merupakan tokoh yang sudah lama tidak aktif dan kurang - atau langsung tidak mempunyai - pengaruh seperti dulu.

Keluar Umno, mohon masuk semula

Kecuali Adun Sungai Sibuga, Musa Aman, yang didakwa mendalangi cubaan rampasan kuasa terhadap Kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan pada akhir Julai lalu sebelum digagalkan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Mereka (bekas ketua menteri) tidak lagi berpengaruh. Satu-satunya yang mempunyai impak besar mungkin Musa," kata pemerhati politik Malaysia Timur dan ahli akademik Universiti Tasmania, James Chin kepada Malaysiakini.

Selain Musa, calon lain yang mungkin mempunyai peluang dalam PRN ini adalah Salleh yang merupakan ketua menteri negeri itu dari 1994 hingga 1996.

Selain pernah berhidmat di Sabah, Salleh juga dilantik menjadi menteri komunikasi dan multimedia di bawah pentadbiran mantan perdana menteri Najib Razak sehingga sebelum BN dikalahkan Pakatan Harapan.

Salleh Said Keruak

Salleh bertanding di kerusi parlimen Kota Belud pada PRU14 namun kalah kepada calon Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis Fakharudy, dengan perbezaan 4,262 undi.

Selepas BN tumbang, Salleh memohon untuk menyertai PKR pada Oktober tahun lepas namun menarik balik hasratnya selepas kerajaan PH tumbang pada Mac, dan selepas itu berusaha untuk kembali bersama Umno.

Permohonan untuk menyertai semula parti itu masih dalam proses. Setakat ini tidak dapat dipastikan Salleh akan menggunakan tiket parti mana jika dia memutuskan untuk menyertai PRN hujung bulan ini.

Kemungkinan besar Salleh akan bertanding di kerusi DUN dalam kawasan parlimen Kota Belud kerana di situ pengaruhnya dipercayai masih kuat.

Cuma dapat pecahkan undi

Chin juga berpendapat bahawa Chong - yang mewakili LDP - mungkin berpeluang untuk bertanding sekali lagi kerana dia mempunyai reputasi yang baik di Sabah.

Chong pernah menjadi ketua menteri dari 2001 hingga 2003. Apabila tempoh itu tamat dia dilantik sebagai timbalan ketua menteri ketika Musa mengambil alih kerajaan pada 2003.

Bagaimanapun Chong meletak jawatan dari kabinet Musa pada 2007 atas alasan prinsip. Dia tidak mempertahankan kerusi Tanjong Kapar pada PRU 2008.

Namun, dalam PRN Sabah yang akan datang, LDP ingin menjadi "kuasa ketiga politik" dan merancang untuk bertanding di sekurang-kurangnya 40 kerusi DUN.

James Chin

Calon mereka - termasuk Chong - dilaporkan akan bertanding di DUN Inanam.

"Calon dengan peluang 50-50 peratus (memenangi kerusi) adalah Chong. Dia mengundurkan diri dari politik tanpa terlalu banyak skandal, jadi dia mungkin boleh melakukan kemunculan semula.

"Salleh juga mempunyai peluang 50-50. Bekas ketua menteri yang lain tidak ada berpeluang. Namun yang memiliki peluang terbaik untuk menang sudah tentu Musa," kata Chin.

Berkongsi pandangan sama ialah pensyarah kanan program kajian politik dan kerajaan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak, Arnold Puyok.

Arnold berkata bekas ketua menteri selain Musa mungkin dapat memecah undi tetapi ia tidak cukup untuk mencabar entiti yang lebih kukuh seperti Perikatan Nasional (PN), BN atau Warisan.

Miliki banyak sumber

Musa merupakan ketua menteri Sabah paling lama berkhidmat. Dia memegang jawatan itu dari 2003 sehinggalah Warisan mendapat sokongan majoriti di DUN Sabah selepas PRU ke-14 pada 2018.

Musa memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga dengan majoriti 2,184 pada PRU14. Kira-kira lima tahun sebelum itu dia memenangi kerusi sama namun mendahului lawannya dengan kelebihan 11,569 undi.

Dalam PRN akan datang Musa mungkin menghadapi cabaran kerana lima daripada pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN itu - sebelum ini menyaksikan 37 peratus pemilih menyokongnya - dipindahkan ke Sungai Manila.

Pada masa sama dua PDM yang agak besar - yang sebahagian besar pengundi menyokong Warisan - masih ada dalam Sungai Sibuga.

Musa Aman

Namun, veteran Umno itu boleh memilih untuk berpindah ke Sungai Manila.

Chin memberitahu Musa sebenarnya masih sangat berpengaruh di Sabah kerana dia mempunyai banyak "sumber".

"Dia mempunyai banyak wang, jadi dia selalu menjadi ancaman kepada sesiapa pun yang mencabarnya," kata Chin.

Walaupun andainya Musa memenangi kerusi iu dan pembangkang menguasai Sabah dalam PRN nanti, tidak ada jaminan kemunculan semula Musa akan membawa dia ke jawatan ketua menteri.

"Masa depan politik Musa bergantung kepada kedudukannya, sama ada dia memimpin kempen di Sabah atau tidak.

"Jika dia memimpin kempen dan dia menang, memang jelas dia akan kembali sebagai ketua menteri.

"Sekiranya, sebagai contoh (Pengerusi Umno Sabah) Bung Moktar Radin atau yang orang lain dinamakan sebagai ketua menghadapi Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, kemudian dia (Musa) mungkin hanya akan kembali sebagai Adun biasa saja," tambah Chin.

Pengaruh kini tak macam dulu

Terdapat juga desas-desus Musa berpotensi digugurkan sebagai calon dalam PRN, tetapi Bung Moktar telah menafikan hal itu dan menganggapnya sebagai usaha untuk melaga-lagakan mereka.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memilih Bung Moktar - yang merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan - untuk mengepalai BN Sabah dalam PRN akan datang.

Zahid berkata BN akan membiarkan isu bakal calon ketua menteri untuk diputuskan oleh Bung Moktar.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan, sebelum ini mendedahkan Musa menolak hasrat untuk memimpin BN Sabah dalam PRN akan datang.

Namun, Abdul Rahman - yang dilihat mesra dengan Musa - menyerang kepimpinan Bung sebelum kedua-dua mereka berdamai semula.

Lazimnya pengerusi Umno Sabahlah yang akan dilantik menjadi ketua menteri jika BN menang nanti.

Untuk rekod dalam PRN ini, BN bukan sahaja perlu menang sebaliknya harus memperoleh lebih banyak kerusi berbanding rakannya dalam gabungan PN untuk menjamin jawatan ketua menteri.

Bung Moktar

Selain permainan politik antara individu yang berpengaruh, beberapa bekas ketua menteri yang lebih veteran juga merancang untuk kembali semula.

Dilaporkan Harris - kini berusia 90 tahun - diminta untuk memimpin Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), sebuah parti yang ditubuhkan pada 1961.

Ia berkuasa di Sabah dari 1967 hingga 1975. Parti itu dibatalkan pendaftarannya pada 1996 sebelum didaftarkan semula kira-kira 17 tahun kemudian, iaitu 2013.

Buat masa ini Usno dipimpin Ibrahim Linggam.

Pengaruh Harris di Sabah tidak lagi seperti apa yang dinikmatinya semasa menjadi ketua menteri dalam kerajaan gabungan dengan Berjaya, hampir 40 tahun lalu - dari 1976 hingga 1984.

Menggambarkan Harris sebagai "pemimpin masa lalu", Chin berkata tidak mungkin pemimpin veteran itu memenangi kerusi dalam PRN hujung bulan ini.

Perkara yang sama dapat dikatakan untuk Yong dari SAPP dan berkhidmat sebagai ketua menteri dari 1996 hingga 1998. Yong menjadi ketua menteri dalam sistem penggiliran dipersetujui BN Sabah dulu.

Yong Teck Lee

Sistem bergilir dua tahun dihapuskan ketika Musa berkuasa pada 2003.

Bekas wakil rakyat Likas itu tidak lagi berada di DUN Sabah sejak 2002.

Cubaan Yong untuk memenangi kerusi DUN pada tahun 2013 menyaksikan dia hanya memperoleh 1,487 undi daripada 15,294 pemilih berdaftar di Likas.

Dia juga bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu pada PRU 2018 namun tewas kepada DAP dan PBS, dengan hanya mendapat 3,132 daripada 56,220 undi.

"Yong juga mungkin dilihat oleh masyarakat Cina (di Sabah) sebagai seorang pemimpin yang masanya sudah berlalu," kata Chin.

Namun Yong mungkin akan berusaha untuk merebut kerusi Likas dengan bersandarkan kepada sokongan majoriti Cina yang diberikan khidmatnya dari 1985 hingga 2002.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post