NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lucut PM, lantik pengganti kuasa budi bicara Agong

BANGI, 6 Safar 1442H, Khamis – Pelucutan jawatan Perdana Menteri akibat kehilangan undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan pemilihan penggantinya adalah di bawah kuasa budi bicara atau prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Pengasas Jurisprudens Watan dan Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kedua-dua proses berkenaan adalah termaktub mengikut Perkara 43 (4) dan 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

“Menurut Perkara 43(2)(a), Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang Perdana Menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat atau pertimbangan baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahlinya.

“Kuasa lantikan berkenaan menjadi kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang dijamin Perkara 40(2)(a).

“Amalan terdahulu menunjukkan Yang di-Pertuan Agong tidak mudah menerima dakwaan kehilangan undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat di luar proses Parlimen, “ katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Dr Ahmad Fauzi berkata, Perkara 43 (4) membenarkan Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan permintaan Perdana Menteri yang kehilangan undi kepercayaan majoriti bagi pembubaran Parlimen.

Jelasnya, sekiranya terbukti di Parlimen atau melalui amalan akuan berkanun bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mendapat undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk meletak jawatan atau meminta pembubaran Parlimen.

“Pada ketika ini, barulah Yang di-Pertuan Agong berhak menggunakan prerogatif baginda sama ada menerima peletakan jawatan Perdana Menteri atau memperkenankan Parlimen dibubarkan.

“Dalam situasi ini, baginda tidak terikat pada permintaan Perdana Menteri kerana itu bukanlah suatu nasihat di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Beliau juga mendakwa, sudah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

“Jumlahnya kukuh dan meyakinkan, jauh daripada majoriti kecil,” katanya tanpa mendedahkan bilangan Ahli Parlimen yang menyokongnya - ismaweb

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo