NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

LHDN Akan Semak Semula Sasaran Kutipan 2020

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menyemak semula sasaran kutipan cukai bagi tahun 2020 kerana sasaran sebanyak RM154 bilion yang ditetapkan pada Januari lepas dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata LHDN sudah menghantar sasaran baharu kutipan cukai bagi 2020 kepada Kementerian Kewangan berdasarkan situasi pandemik COVID-19.

"Pengurangan yang dicadangkan juga adalah anggaran tetapi ia akan melebihi RM100 bilion," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bertajuk 'Deepen Perspectives on Tax' pada satu forum percukaian yang berlangsung di sini hari ini.

Mohd Nizom berkata kutipan cukai untuk tahun ini akan menentukan unjuran dan strategi untuk tahun depan.

Dalam pada itu, kelonggaran yang diberikan kepada syarikat akan berdasarkan kepada kes demi kes.

Sementara itu seorang pakar percukaian daripada Deloitte Malaysia, Tan Eng Yew berkata sekarang bukan masa yang sesuai bagi kerajaan untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) walaupun merupakan cukai itu lebih baik berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

"Masa yang mencukupi mesti diberi daripada segi persiapan untuk perniagaan dan latihan yang mencukupi bagi orang ramai untuk memahami apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan sebelum kembali kepada GST.

"Secara peribadi, saya berpendapat persiapan selama enam hingga sembilan bulan sudah mencukupi untuk perniagaan kembali kepada GST," katanya ketika ditemui pemberita di luar forum percukaian tersebut.

Tan berkata kadar GST tidak boleh melebihi enam peratus.

"Keperluan rakyat harus dijaga. Kadarnya tidak harus membebankan, "katanya.
Malaysia telah melaksanakan GST pada kadar enam peratus berkuat kuasa pada 1 April 2015. Pada September, 2018, rejim cukai kembali kepada SST.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo