Sultan Johor Kurnia 10 Perodua Myvi Kepada Jururawat HSA

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 10 kereta Perodua Myvi kepada 10 jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. -Gambar Royal Press Office

JOHOR BAHRU : Seramai 10 jururawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan mengurniakan masing-masing sebuah kereta Perodua Myvi.

Sultan Ibrahim mengurniakan kereta-kereta berkenaan bagi menghargai sumbangan serta khidmat mereka kepada baginda serta keluarga diraja Johor.

Seorang Penyelia Jururawat, Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak 2006 berkata, dia melahirkan perasaan kesyukuran di atas kurniaan berkenaan. 

“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada baginda Tuanku Sultan di atas kurniaan ini. 

“Besar sungguh nilainya kepada kami semua, dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Johor serta keluarga diraja Johor,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Royal Press Office dalam kenyataan memaklumkan semua kenderaan berkenaan diserahkan dalam satu majlis berlangsung di Kasawari Motors Sdn. Bhd, Larkin oleh Pengarah Kasawari Motors, Muhammad Fahmi Hassan. 

Turut berkongsi perasaan syukur, Nuraini Aziz, 28, yang hadir sendiri untuk menerima kenderaan berkenaan walaupun masih dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak pada tiga hari yang lalu. 

“Saya bersyukur kerana dapat hadir kerana ini merupakan satu kenangan yang sangat istimewa. Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Sultan Johor dan keluarga diraja Johor,” katanya.-UTUSAN
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post