Langkah Le Meridien: 10 kesilapan terbesar DSAI



oleh:DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

(1) DENGAN yakinnya mengumumkan ‘kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh’ sedangkan pengumuman sebegini, jika ada, sepatutnya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong setelah melalui segala proses perlembagaan yang diperuntukkan.

(2) Dengan yakinnya mengumumkan beliau mempunyai ‘strong, formidable, convincing majority’ dan ‘close to 2/3 majority’ di Parlimen tanpa memberikan walau sebarang pembuktian sekalipun mengenainya.

(3) Dengan yakinnya mengumumkan beliau akan membentuk ‘sebuah kerajaan baru’ yang merupakan ‘a convincing, formidable, strong government’ tanpa mengambil kira kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong untuk meminta dan memperkenankan pembubaran Parlimen.

(4) Dengan yakinnya mengumumkan Ahli-ahli Parlimen yang bersama beliau ‘have decided and have strongly endorsed this position’ sedangkan keputusan ini tidak pun dibawa untuk dirunding dan diputuskan di dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

(5) Dengan yakinnya mengumumkan ‘we have Parliamentarians from the government side which of course have included Barisan Nasional Members of Parliament’ tanpa memberikan sebarang nama Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang berbuat demikian.

(6) Dengan yakinnya mengumumkan Tun Dr Mahathir dan PEJUANG tiada akan bersama beliau di dalam kerajaan baru beliau sedangkan Tun Dr Mahathir dan PEJUANG mungkin sahaja akan mampu untuk mempengaruhi Ahli-ahli Parlimen lain untuk menolak pembentukan kerajaan baru ini.

(7) Dengan yakinnya mengandaikan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menerima bulat-bulat perancangan beliau sedangkan Baginda sendiri telah bertitah di dalam Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas, pada 18 Mei 2020 supaya pemimpin politik tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19.

(8) Dengan yakinnya mengandaikan bahawa rakan-rakan lama beliau di dalam Pakatan Harapan dan rakan-rakan yang baru menyertai beliau boleh menerima satu sama lain sedangkan banyak petanda menunjukkan keadaan sebaliknya.

(9) Dengan yakinnya mengandaikan bahawa tiada apa-apa perubahan yang boleh berlaku antara tarikh beliau mengumumkan pembentukan kerajaan baru beliau dengan tarikh beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong dan dengan tarikh Yang di-Pertuan Agong menemu duga semua Ahli Parlimen sedangkan banyak perubahan yang boleh berlaku.

(10) Dengan tiada segannya mengumumkan sendiri segala perkara yang berkait dengan kenaikan diri beliau dan rancangan pembentukan kerajaan baru oleh beliau sedangkan adalah jauh lebih baik jika yang berbuat demikian adalah rakan-rakan lama beliau di dalam Pakatan Harapan atau rakan-rakan yang baru menyertai beliau.

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post