NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kuala Lumpur Dilanda Banjir Kilat Lagi

Keadaan di sekitar Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek yang dinaiki air akibat daripada hujan lebat petang tadi , Gambar : Twitter

KUALA LUMPUR, 10 Sept  -- Hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi mengakibatkan lima kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat.

Kawasan yang terlibat banjir kilat adalah Lebuh Ampang di pusat bandar, Jalan Raja Alang (Kampung Baru), Lorong Air Leleh (Setapak) dan, Jalan Gurney serta Jalan San Ah Wing (Semarak), di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian banjir kilat pada pukul 4.25 petang tadi.

"Setakat ini tiada kemalangan melibatkan banjir kilat ini, hanya laporan kenderaan yang terperangkap akibat banjir," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan hari ini berkata air naik setinggi satu hingga tiga meter di kawasan terjejas banjir kilat.

Setakat ini, seramai 15 mangsa yang terperangkap akibat banjir di Jalan Gurney dan Kampung Periuk di Jalan Raja Alang telah diselamatkan bomba.

"Bagi Kampung Periuk di Jalan Raja Alang, seramai lima mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kelab Sultan Sulaiman," katanya.

-- BERNAMA  

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo