NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemimpin PAS Tak Layak Jadi PM... Ke mana Halatuju Khairi Jamaluddin?


Minggu lepas, bekas Ketua Pemuda Umno yang kini menjadi anggota Kabinet Kerajaan PN, Khairy Jamaluddin membuat komentar, kononnya tiada pemimpin PAS yang layak menjadi PM. Itu pandangan dia. Pandangan seorang yang memusuhi PAS sejak awal karier politiknya dan mungkin masih percaya bahawa orang yang mendukung perjuangan Islam tidak boleh memimpin negara, boleh jadi kerana agama dan negara adalah perkara yang terpisah dalam hitungannya.

Negara ini, sejak merdeka dipimpin oleh Umno. Enam Perdana Menteri sejak 1957 adalah Umno. Baru kali ini Umno tidak menjadi Perdana Menteri, tetapi yang mengambil alihnya, sama ada Tun Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin, kedua-duanya juga adalah orang keluaran dari Umno. Boleh jadi sahaja Khairy menyangka, hanya orang Umno sahaja yang berkebolehan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Fikiran khurafat ini masih bersarang di hati menteri Umno rupanya.
Serangan hendap Khairy terhadap kelayakan PAS untuk memimpin kerajaan ini adakah berasaskan analisis atau kerana ketakutan?

Mungkin bagi mereka yang mengenali Khairy, tahu perihal pergaduhan beliau dengan Tun Mahathir, sejak sebelum dijadikan menantu oleh Pak Lah (PM5) lagi. Kerana soalannya kepada Tun Mahathir di London, dia dikenakan tindakan politik, kemudian Tun Mahathir membencinya kerana dikatakan menguasai Tingkat 4 JPM zaman mertuanya. Dia tidak dijadikan menteri oleh Pak Lah, tapi Tun Mahathir merungut kerana kuasanya sama seperti kuasa Rosmah Mansur di Pejabat Datuk Seri Najib.

Kerana kuatnya pengaruh Khairy di Tingkat 4 itu, seorang penulis politik vateran, Pak Yahya Ismail menulis satu buku pada 2004. "Khairy Jamaluddin Bakal Perdana Menteri," provok Pak Yahya. Dalam tahun 2012, Zam, bekas Menteri Penerangan turut meningkatkan Khairy tentang kedudukannya sebagai Bakal PM. Ertinya, selain Anwar Ibrahim, ada seorang lagi Bakal PM yang sedang menunggu giliran. Sedar atau tidak, mungkin kerana terpesona dengan kedudukan sebagai Bakal PM, Khairy berseteru dengan Najib dalam isu 1MDB dan turut bertelagah dengan Zahid Hamidi sejak 2018. Dia mendesak supaya Presiden Umno itu berundur selepas Umno kalah dalam Pilihan Raya Umum 2018.
Sebagai Bakal PM, pasti Khairy berusaha untuk 'menghabiskan' semua pihak yang dianggap menggugat peluangnya.

Saya tidak tahu pergolakan apa yang sedang membara di dalam Umno. Berapa kem yang wujud sejak Umno kalah pilihan raya, kemudian bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional, diikuti oleh usaha membawa masuk Bersatu ke dalam muafakat ini. Saya tahu ramai pemimpin Umno yang sealiran dengan Khairy yang tidak sukakan Zahid Hamidi, dan ramai pula di kalangan mereka yang lebih tidak sukakan Bersatu menyertai muafakat politik ini. Kerana itu Umno mahu mengukuhkan Muafakat Nasional, tetapi enggan menyertai Perikatan Nasional.

Khairy sendiri pasti cuba mencari kedudukan di sebalik krisis yang bergejolak ini. Pasti Khairy tahu bahawa Tun Mahathir yang sudah tersingkir dari Bersatu dalam usia 95 tahun, bukan saingannya. Anwar Ibrahim juga mungkin akan terkeluar dari senarai Bakal PM setelah PH hilang pengaruh sekarang ini. Zahid Hamidi adalah halangan dari dalam Umno, tetapi Khairy mungkin adalah cara untuk melemahkan Zahid. Keberanian Khairy mendesak Zahid meletakkan jawatan bukan calang-calang bagi sebuah parti feudal seperti Umno. Ia ibarat Laksamana Bentan menghunus keris kepada sultan di atas julang!

Sekarang Khairy berada di dalam Kabinet, Zahid di luar. Tetapi Zahid yang berpengaruh dalam menyusun dasar-dasar parti kerana beliau adalah Presiden Umno. Sedangkan Khairy lebih popular kerana ahli Umno mahu keluar dari puaka feudalisme. Mereka mahu pemimpin muda yang lebih intelek, berani dan progresif. Khairy ada kelebihan itu. Zahid sudah berada di persimpangan politik. Kelihatan sukar untuknya melakukan coming back. Umno boleh bangkit semula, tetapi Zahid bukan orangnya.

Kalau saingan-saingan Khairy sama ada Tun Mahathir yang sedang menggerakkan Pejuang atau Anwar Ibrahim yang sedang bercatur politik dalam PH, bukan lagi cabaran bagi Khairy. Zahid Hamidi juga demikian. Maka siapa yang boleh menggugat kedudukan Khairy sebagai Bakal PM?

Pastinya PAS! Khairy pasti sedar para Menteri PAS lebih cemerlang dan popular pada pandangan rakyat. Presiden PAS sendiri lebih terhormat, bukan sahaja di mata rakyat, tetapi juga di kalangan elit politik, bahkan istana juga. Kedudukan Umno dan PAS dalam politik orang Melayu sekarang adalah seimbang. Kedua-dua parti mempunyai kekuatan. Tetapi Umno terpaksa menumpang kekuatan PAS, jika tidak mereka tumbang! Sedangkan PAS teguh bertahan, parti-parti lain menjadikan ia dahan. Semua parti Melayu berpaut kepada PAS untuk membina kekuatan.

Nampaknya, kerana bimbang menyusuli nasib Anwar Ibrahim yang hanya menjadi Bakal PM, Khairy segera menyerang PAS dan membinakan satu gambaran, bahawa PAS adalah parti yang tidak mempunyai masa depan. PAS tidak ada hala tuju perjuangan. Tiada tokoh PAS yang boleh dijadikan pimpinan. Menjadi Perdana Menteri bagi PAS hanya angan-angan!

Khairy sebenarnya sedang menganalisis atau sedang ketakutan?

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo