NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kini Video kanak-kanak memandu treler pula tular

SEREMBAN: Selepas video seorang kanak-kanak memandu kereta tular dalam media sosial, berlaku satu lagi kes tetapi kali ini video memaparkan seorang kanak-kanak memandu sebuah lori treler.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim yang mengesahkan perkara tersebut memberitahu, hasil semakan lanjut mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Rantau dekat sini.

“Satu laporan polis telah diterima berkaitan video yang tular itu kerana bapa kanak-kanak tersebut dengan cuai membiarkan anaknya di bawah umur memandu lori treler.

“Usaha untuk mengesan bapa dan kanak-kanak tersebut sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Video berdurasi satu minit 18 saat yang memaparkan seorang kanak-kanak di bawah umur sedang memandu sebuah lori treler jenis HINO itu tular menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 4.41 petang tadi.

Dalam video tersebut, kelihatan kanak-kanak itu memandu ke hadapan dan mengundurkan treler sebelum meletakkan kenderaan berat itu di tempat parkir.

Menurut Mohd. Said, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Terdahulu, tular di media sosial video seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta Proton Saga dalam kejadian di Rembau.

Menerusi video berdurasi 53 saat tersebut, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu memberitahu bapanya yang mengajarnya memandu kereta apabila ditanya oleh seorang lelaki dipercayai perakam video.

Bapa kanak-kanak itu yang berusia 47 tahun disaman polis di bawah Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 malah turut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo