NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kesedihan ‘Mowgli Malaysia’ Perlu Dirawat, Guru Bantu Redakan Trauma


KUALA TERENGGANU, 18 Sept —
 Kesedihan ‘Mowgli Malaysia’ yang kehilangan hampir separuh daripada 110 ekor kerbau yang menjadi ‘rakan’ sepermainannya perlu ditangani agar tidak menjejaskan pelajarannya.

Sejak minggu lepas, Muhammad Syukur Khamis, 15, bukan sahaja perlu melihat ternakan milik keluarganya itu menggelupur dan rebah seekor demi seekor akibat wabak hawar berdarah, tetapi juga dua ekor kerbau kesayangannya, yang diberi nama Semek dan Tongkol turut mati.

Berikutan itu Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin akan mengambil inisiatif memberi khidmat nasihat untuk meredakan trauma remaja itu, lebih-lebih lagi kini sudah lebih seminggu beliau tidak hadir ke sekolah.

Guru sekolah, Siti Rokiah Abdullah berkata pelajar tingkatan tiga itu akan diberi kaunseling dari semasa ke semasa dan pihaknya secara bergilir-gilir menemuinya untuk bertanya khabar sebagai tanda sokongan.

Katanya Muhammad Syukur bukan sahaja pelajar sekolah biasa, tetapi telah menjadi ikon yang mengharumkan nama negara apabila gambarnya bersama kerbau pernah meraih anugerah sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Pada hari pertama kematian kerbau ini dikesan, pengetua sekolah (Khairi Mohd Nor) dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (Zaki Mohd Nor) telah menziarah Muhammad Syukur dan keluarganya untuk memberi sokongan moral kepada mereka.

“Semalam pula, pihak pengurusan sekolah dan wakil kelab guru juga akan mengadakan ziarah cakna ke rumah Muhammad Syukur untuk memastikan beliau tabah dalam menghadapi waktu getir ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nasib malang yang menimpa keluarga dan remaja yang turut dikenali sebagai ‘Kampung Boy’ itu mendapat simpati rakyat Malaysia apabila 52 dari 110 kerbau ternakan mereka mati secara berperingkat sejak 9 Sept lepas.

Ketika tinjauan Bernama di kandang kerbau terbabit sejak beberapa hari lepas, wajah Muhammad Syukur kelihatan sugul dan beliau dilihat mengusap muka hampir kesemua kerbau yang mati serta turut bertungkus lumus menanam haiwan berkenaan.

Zaki ketika ditanya adakah ketidakhadiran pelajar itu ke sekolah akan dikenakan tindakan tatatertib berkata, pengurusan sekolah sudah maklum mengenai masalah yang dihadapi Muhammad Syukur dan tiada sebarang tindakan akan diambil.

“Kita memahami bahawa kejadian ini adalah ujian yang sangat berat untuk remaja seusianya....ia bukan satu perkara mudah. Bayangkan biasanya dikelilingi ratusan ‘rakan’ (kerbau), kini hampir separuh daripadanya telah tiada.

“Pihak sekolah akan membantu Syukur untuk menguruskan emosinya agar lebih tenang dan sedia kembali memulakan rutinnya di sekolah secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Syukur mula bermain dengan kerbau itu sejak kecil dan dapat menjinakkan ‘Semek’ di usia sembilan tahun hinggalah gambarnya bersama lebih 100 ekor kerbau menjadi tular di media sosial, menjadi juara peringkat Asia, selain turut tersenarai 20 gambar terbaik dunia.

Sejak itu, remaja berkenaan sering menjadi buruan jurugambar dari pelbagai negara untuk merakam aksi mesranya bersama haiwan peliharaan yang disifatkan sangat unik dan istimewa.

Baki kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh di Kampung Kubang Bujuk, di sini, telah disuntik antibiotik oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dan sekitar kawasan kandang juga telah dilarang daripada dimasuki orang ramai. — Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo