Kejayaan Anak Terengganu Bina Kapal Membanggakan-Amzad



KUALA NERUS, 22 September- Kejayaan anak-anak tempatan yang menceburi bidang perkapalan di Terengganu cukup membanggakan dan wajar dikekalkan di negeri ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menyatakan kebanggaan dengan kejayaan anak-anak tempatan kerana kerjaya itu dapat mengekalkan tradisi pembinaan kapal dan bot dalam negara.

"Tradisi ini wajar dikekalkan lebih-lebih lagi sekarang pembinaan kapal telah menggunakan teknologi yang lebih maju dan moden. Ini antara limbungan kapal yang terbaharu, diusahakan oleh sekumpulan anak-anak muda yang sebelum ini banyak menimba pengalaman dalam pembinaan kapal," katanya.

Jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika lawatan tinjauan di limbungan Cerana Tekniq Group Sdn Bhd, di Kampung Batin, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan, limbungan Cerana Tekniq kini sedang dalam proses menyiapkan pembinaan kapal atau Bot Peronda Taman Laut untuk Jabatan Perikanan Malaysia.

“Bot ini menggunakan teknologi terkini dan saya lihat kualiti pembinaannya cukup bagus. Ini sekali lagi anak Terengganu membuktikan mereka kekal mempunyai tradisi pembinaan kapal, bot antara yang termaju dalam negara kita.

Ini bertepatan dengan kerajaan yang sedang menerapkan IR4.0 sebagai strategi pembangunan negara di masa hadapan, dan menjelang RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12) lebih banyak inisiatif bagi memacu pembangunan negara berasaskan teknologi," katanya.

Tambahnya, MOSTI bertanggungjawab untuk memacu teknologi dalam negara, dalam segala bidang termasuklah dalam industri maritim yang dipacu penggunaannya melalui teknologi.

Antara peranan itu ialah bagaimana memodenkan industri perikanan dengan memperkenalkan bot-bot nelayan yang lebih moden, menggunakan bahan yang murah, kuat dan senang didapati.


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post