Isyarat jelas rakyat tolak PH melalui PRK DUN Slim


KUALA TERENGGANU- Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak memberikan isyarat jelas rakyat sudah bersedia untuk menolak Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, walaupun PH tidak bertanding kali ini, umum mengetahui calon Bebas yang bertanding didokong oleh parti pembangkang.

"Saya tidak tahulah sama ada di belakangnya siapa tapi semasa kempen, calon Bebas ini didokong oleh parti pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad, DAP, Parti Amanah Negara dan sebagainya.

"Kita memang jangka BN menang di PRK DUN Slim, cuma melihatkan keputusan, kita dapat lihat Bebas langsung tidak memberikan cabaran dan tidak boleh bertapak di negara ini.

"Dari situ, kita nampak PH hilang sokongan dan rakyat mula selesa dengan pemerintahan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin melalui kemenangan calon BN ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Ketengah Holdings Sdn Bhd, di bawah agensi Ketengah di Hotel Primula, di sini hari ini.

Semalam, BN menerusi calonnya, Mohd Zaidi Aziz yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu mengekalkan kerusi DUN Slim setelah memperoleh majoriti 10,945 undi.

Mohd Zaidi berjaya meraih 13,060 undi dan menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan S Santharasekaran yang memperoleh 276 undi.

Mengulas lanjut, Razali berkata, melihatkan trend pengundi Cina dan India yang mula beralih kepada PN, beliau berkata, ia menunjukkan rakyat sudah bersedia untuk menolak PH.

"Memang kita nampak jelas, rakyat melihat dan menilai prestasi pemerintahan PH selama 22 bulan ini.

"Kemenangan mendadak ini menunjukkan rakyat menolak PH dan menerima PN setelah melihat cara Perdana Menteri menguruskan negara dan rakyat. Ia menunjukkan rakyat selesa dengan PN," katanya.



Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post