NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dewan Ulama PAS senaraikan lima tonggak perpaduan nasional


MACHANG: Dewan Ulama PAS menggariskan lima tonggak untuk membina perpaduan nasional, sejajar perubahan iklim politik yang memihak kepada parti itu di peringkat Persekutuan dan negeri.

Lima tonggak itu adalah menjaga hak majoriti secara adil, menghormati Islam sebagai pasak kestabilan, mengharmonikan kesejahteraan dalam masyarakat majmuk, mendahulukan jalan perdamaian dan kesejahteraan serta menolak sebarang anasir khianat.

Selain lima tonggak itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, turut menggariskan beberapa teras untuk Dewan Ulama parti itu berperanan memperteguhkan muafakat dalam iklim dan suasana politik terkini.

Beliau berkata, teras berkenaan termasuklah tolong menolong dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, tidak terbabit dalam perkara dosa dan permusuhan.

"Tidak melanggar garis sempadan hukum syarie, kerjasama dengan golongan bukan muslim yang bersikap lunak Islam, selain melaksanakan keadilan untuk semua," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama di muktamar tahunan di Markas Dewan Ulama (MADU) di sini, hari ini.

Terdahulu, muktamar Dewan Ulama dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Nik Muhammad Zawawi berkata, perubahan iklim politik negara ketika ini adalah adalah hasil strategi dalam mengadakan hubungan dan kerjasama pintar dengan beberapa parti lain, akhirnya membentuk politik dikenali Perikatan Nasional (PN).

"Bila Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti, PN diberi peluang untuk mengambil alih. Kita bersyukur kepada Allah yang mengurniakan kekuasaan dengan perkongsian pemerintahan.

"Justeru, Muktamar tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-59 yang berlangsung hari ini memilih tema 'Ulama Perteguh Muafakat'," katanya.

Beliau menyifatkan, PAS kini sedang melalui 'marhalah tamkin' yang banyak tanggungjawab dan cabaran.

"Kerajaan PN yang dibentuk melalui strategi dan taktik yang sangat hebat berdasarkan Perlembagaan negara dan nilai demokrasi.

"Kita berdoa kepada Allah agar mengekalkan kemenangan ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Peranan ulama dalam mengisi kemenangan di peringkat Persekutuan dan negeri, mesti difahami serta direalisasikan dalam kerangka yang tepat," katanya. - BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo