NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dakwaan Amirudin Tidak Berasas - Peguam Negara

PETALING JAYA: Dakwaan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan selepas kerajaan negeri selesai menyiasat kes pencemaran air pada April adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Idrus berkata, Jabatan Peguam Negara hanya dimaklumkan bahawa terdapat kertas siasatan yang dibuka oleh agensi yang berkaitan dan kertas siasatan itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Beliau berkata, pada 17 Mac, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan bahawa 4 loji rawatan air di Sungai Selangor dihenti tugas bermula 17 Mac, jam 7.00 malam, akibat pencemaran bau dalam air mentah pada tahap 2 TON.

“Lanjutan itu, siasatan bersepadu bersama oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan Exco Alam Sekitar Selangor dijalankan berikutan aduan yang menyebabkan penutupan loji tersebut.

“Pihak JAS Selangor mengeluarkan 30 tawaran kompaun di lapangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM60,000.00 kepada pemilik premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd di Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kg Sungai Dua, Rawang.

“Kompaun itu dikeluarkan tanpa apa-apa rujukan kertas siasatan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain daripada tawaran kompaun yang dikeluarkan pada Mac, yang dibuat tanpa rujukan kepada Jabatan Peguam Negara, Idris menegaskan sehingga kini jabatan itu tidak pernah dirujuk dengan apa-apa kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air mentah di Selangor.

“Selanjutnya pada 4 Sept, Air Selangor memaklumkan bahawa 4 loji rawatan air di Sungai Selangor dihenti tugas bermula 3 Sept, jam 7.15 – 9.00 pagi, akibat pencemaran bau seakan pelarut dalam air mentah pada tahap 3 TON di muka sauk Sungai Selangor.

“Siasatan bersepadu berhubung kejadian itu sedang dijalankan oleh pelbagai agensi yang berkaitan,” katanya.

Terdahulu hari ini, Amirudin mendakwa tiada tindakan diambil oleh peguam negara selepas kerajaan negeri selesai siasatan kes pencemaran air pada April.

Beliau memaklumkan hal itu kepada pemberita ketika menjelaskan bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad berbanding kerajaan persekutuan dalam hal menghukum pencemar air.

Insiden itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo