NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bantuan Tekun Mobilepreneur sudah cecah RM10.95 juta -- Wan Junaidi


KOTA SAMARAHAN, 29 Ogos  -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi setakat ini sudah memberikan dana skim pembiayaan Tekun Mobilepreneur mencecah RM10.95 juta kepada 1,363 usahawan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal atau riders dalam negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata di bawah skim itu tiap seorang riders menerima bantuan maksimum sehingga RM10,000 yang disalurkan kementerian itu menerusi agensi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

“Setakat ini di Sarawak kita sudah beri (dana Skim Pembiayaan Tekun Mobilepreneur) kepada 122 orang riders, jumlah (dana) yang disalurkan ialah RM1.15 juta," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 7.0 Negeri Sarawak di D'Virtual Park, di sini, hari ini.

Menurutnya skim itu bertujuan memberi peluang menjana pendapatan kepada golongan yang hilang punca pendapatan serta terjejas akibat penularan Covid-19 untuk tujuan pembelian motosikal, baik pulih motosikal, pendaftaran bersama syarikat e-hailing dan modal pusingan.

Beliau berkata berikutan jumlah riders yang menerima dana terbabit hampir mencecah 1,500 orang di negara ini, beliau menyarankan riders terbabit menubuhkan koperasi sendiri.

Wan Junaidi berkata dengan adanya koperasi, para penghantar ini dapat mengumpulkan dana sendiri dan jumlah wang yang dikumpul dapat digunakan untuk membeli syer dari syarikat yang mengambil mereka sebagai penghantar barangan atau perkhidmatan.

Majlis hari ini juga turut menyaksikan penyerahan sumbangan kerajaan keseluruhannya berjumlah RM498,877 kepada empat penerima bantuan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan tiga penerima bantuan Business Scale-Up Programme (Biz-Up).

Selain itu, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara SME Corp. Malaysia dan Serba Dinamik Holdings Berhad turut diadakan bagi mengesahkan kerjasama kedua belah pihak untuk melaksanakan Hub Inovasi dan Urban Garage untuk Perushaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Di bawah kerjasama ini, Serba Dinamik akan membangunkan kemudahan infrastruktur digital dikenali sebagai Virtual Park di sini, sementara SME Corp Malaysia melaksanakan program pembangunan kapasiti dan khidmat nasihat digital dalam operasi perniagaan usahawan setempat.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo