Bank Negara Dijangka Kekal Kadar OPR Pada 1.75 Peratus


KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalamannya tidak berubah pada 1.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya yang dijadualkan pada 10 Sept, ketika ia menilai keperluan bagi penurunan seterusnya, kata Bank Standard Chartered (StanChart).

Bank pusat telahpun menurunkan kadar secara terkumpul sebanyak 125 mata asas pada empat mesyuarat sebelum ini, mengurangkan kadar dasar utama di bawah paras yang ditetapkan pada 2.0 peratus semasa krisis kewangan global, kata StanChart dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Bank itu berkata, BNM tidak akan mengambil langkah penurunan buat masa ini kerana ia telahpun mengurangkan kadar ke paras terendahnya. 

Negara-negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia, membuka semula ekonominya dan data kekerapan menunjukkan peningkatan aktiviti manakala unjuran data ekonomi masih kekal tidak menentu berikutan gangguan yang disebabkan oleh sekatan pergerakan.

“Dengan sebahagian sekatan pandemik masih lagi berlaku, penurunan kadar seterusnya mungkin hanya membawa impak kecil dan mengurangkan ruang dasar pada masa depan.

“Kami percaya bank pusat mempunyai ruang untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Sekiranya kes jangkitan semula mengancam pemulihan aktiviti ketika ini (global atau tempatan) atau pelaksanaan langkah-langkah fiskal yang lemah, BNM boleh menurunkan lagi kadar dasar,” kata bank itu. 

Mesyuarat pada September itu akan menjadi yang kedua akhir MPC sebelum yang terakhirnya pada 3 Nov.  

-- BERNAMA

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!
Previous Post Next Post