PETALING JAYA: Mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman ke atas 8 orang yang didakwa terlibat dalam pembunuhan wartawan pembangkang Jamal Khashoggi, lapor media hari ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 20 tahun ke atas 5 tertuduh dalam pembunuhan itu, sementara 3 lagi dijatuhi hukuman penjara antara 7 hingga 10 tahun, menurut laporan Al Jazeera yang memetik Agensi Saudi Press.
Keputusan terakhir itu dibuat setelah anak lelaki Khashoggi berkata pada Mei bahawa mereka “mengampuni” pembunuh – bermakna pesalah tidak akan menerima hukuman mati.
Sebelum ini, 5 lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dijatuhkan hukuman mati.
Khashoggi hilang pada 2 Okt 2018 ketika melawat konsulat Saudi di Istanbul, Turki. Pihak berkuasa Turki kemudian mengesahkan beliau dibunuh di dalam konsulat itu oleh pihak Saudi.
Mayat Khashoggi yang dipercayai dikerat tidak ditemui.
Kolumnis Washington Post berusia 59 tahun itu sering mengkritik kerajaan Saudi.
Bagaimanapun, wujud tanda tanya mengenai pembabitan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dalam pembunuhan itu dengan beberapa agensi perisik Barat mendakwa beliau mengetahui mengenai insiden itu sebelum ia berlaku.
Kerajaan Arab Saudi bagaimanapun menafikan dakwaan pembabitan itu.
Pada Mac, pendakwa raya Turki mendakwa 20 warga Arab Saudi berhubung pembunuhan Khashoggi, termasuk 2 bekas pembantu kanan Putera Mohammed.
Mengikut pendakwaan, bekas timbalan ketua perisikan Arab Saudi Ahmed al-Assiri dituduh menubuhkan pasukan serangan dan merancang pembunuhan itu.
Manakala itu, Saud al-Qahtani, bekas penasihat mahkamah kerajaan dan media, dituduh menghasut dan memimpin operasi dengan memberikan perintah kepada pasukan serangan. Suspek lain adalah pegawai tentera dan perisikan Arab Saudi yang didakwa turut mengambil bahagian. FMT
No comments
Post a Comment