NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TunM : Terus Bersandiwara Atau Sandiwara Terakhir?

Semalam Tun Dr Mahathir Mohamed mengumumkan nama parti barunya ialah Parti Pejuang Tanah Air. Katanya, "Sisa-sisa hidup saya untuk bantu agama dan bangsa." Pasti ramai yang terfikir, ketika usia muda dan gagahnya, Allah telah memberinya peluang menjadi anggota Kabinet sejak 1974. Kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri sejak 1976 dan dua kali menjadi Perdana Menteri pada 1981-2003 dan 2018-2020. Apakah dalam tempoh yang begitu lama, dia belum berbakti untuk agama dan bangsa?

Yang ketahui umum, sepanjang karier politiknya, Tun M lebih banyak berkonflik, berkrisis dan bergaduh dengan tokoh-tokoh politik sekitarnya. Pada 1959, beliau bergaduh dengan pemimpin Umno di Kedah kerana isu kriteria calon pilihan raya, lalu beliau enggan bertanding yang menyebabkan hubungan beliau dengan Tunku Abdul Rahman Putra sentiasa panas. Beliau terlibat lagi dalam konflik-konflik seperti berikut:

I. Bergaduh dengan Tunku Abdul Rahman Putra pada 1969, menulis The Malay Dilemma dan dipecat dari Umno.

II. Bersaing dengan Tengku Razaliegh Hamzah dan Abdul Ghafar Baba yang lebih kanan, serta Ghazali Shafie untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1976.

III. Memberi tekanan kepada Hussein Onn sehingga Perdana Menteri itu meletak jawatan pada 1981.

IV. Berkrisis dengan Musa Hitam pada 1986 sehingga beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

V. Membentuk Team A untuk bersaing dengan Tengku Razaliegh Hamzah (Team B) dalam mempertahankan jawatan Presiden Umno. Team B pimpinan Tengku Razaliegh Hamzah terkeluar dari Umno pada 1988.

VI. Berkrisis dengan Anwar Ibrahim pada 1998 sehingga Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dibuang dari Umno pada 1998.

VII. Berkelahi dengan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi pada 2007 atas alasan tidak yakin dengan kepemimpinan Pak Lah dan campur tangan Tingkat 4. Pada 2008, beliau keluar Umno.

VIII. Keluar Umno kali kedua pada 2016 kerana marahkan Najib Razak, kononnya tidak mahu terlibat dengan Umno yang 'melindungi' Najib.

IX. Bergaduh dengan pemimpin PH kerana desakan supaya menyerahkan kerajaan kepada Anwar Ibrahim pada 2020. Akhirnya, dia meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

X. Bergaduh dengan komponen PH dalam merebut semula jawatan Perdana Menteri. Hasil dari perebutan ini, dia bersama Warisan tidak mahu menyokong Anwar Ibrahim dan membentuk kumpulan Bebas di Parlimen. Dan,

XI. Bergaduh dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang didakwa mengkhianati Bersatu dengan membentuk PN yang disertai oleh Umno dan PAS. Dia melancarkan gerakan Bersatu Blackout selepas terpecat dari Bersatu sebelum menubuhkan parti baru.

Image may contain: 3 people, text that says 'DAKWAT MERAH MOHD SAYUTI OMAR Perpaduan Melayu: SANDIWARA TERAKHIR MAHATHIR Reformasi sampai keMakkah Rahsia NikAziz, Perpaduan Mahathir PakPahat SiapaMB Hamid letak HjHadi Melayu undur selepas sebat kelas jawatan kenakritik kudaUMNO satukan Melayu Mahathir kaki.lima? RM4.00'
Mohd Sayuti Omar telah lama berharap supaya Tun M berhenti dari bersandiwara. Ketika dia memecat Anwar Ibrahim pada 1998 dan menjadikan isu perpaduan Melayu sebagai alat pengukuhan politiknya, MSO 'mencadangkan' agar itu adalah sandiwara terakhir Mahathir

Tun Mahathir juga sepanjang karier politiknya pernah dipecat dari Umno pada 1969, dan dua kali keluar dari Umno pada 2008 dan 2016. Kemudian beliau terpecat dari Bersatu pada 2020 kerana menjadi Bebas dan membawa kesnya ke mahkamah. Beliau juga terlibat menubuhkan dan menjadi punca tertubuhnya parti-parti politik berikut:

I. Umno Baru pada 1988. Umno yang asal telah diharamkan oleh Mahkamah Tinggi selepas krisis Mahathir dengan Ku Li pada 1987. Ku Li cuba mengekalkan Umno asal dengan menubuhkan Semangat 46, dan Mahathir dengan Umno Baru.

II. Parti Keadilan Nasional pada 1999. Parti ini ditubuhkan oleh penyokong Anwar Ibrahim setelah pemecatannya pada 1998. Sekarang parti ini dikenali sebagai PKR, bekas sekutu yang berseteru dengan Mahathir.

III. Parti Bersatu Bumiputera Malaysia pada 2016. Selepas pemecatan Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, Mahathir telah menaja penubuhan Bersatu dengan sokongan DAP untuk menjatuhkan Najib Razak.

IV. Parti Pejuang Tanah Air pada 2020. Selepas rasmi terpecat dari Bersatu, Mahathir yang mengkritik kelemahan orang Melayu yang suka berpecah dan menubuhkan parti baru, telah menubuhkan parti terbaru yang dipimpinnya sendiri.

Image may contain: one or more people and eyeglasses, text that says 'MG MalaysiaGazette SPROUT YOUR MIND Politik Home Tun POLITIK Sisa-sisa hidup saya untuk bantu agama dan bangsa Sisa-sisa hidup saya untuk bantu agama dan bangsa- Tun M By Mohammad Arif Nizam- Nizam 12 August 2020 MalaysiaGazette Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Memperkenalkan Calon'
Hari ini Dr Mahathir muncul dengan sandiwara terbaru, untuk membela agama dan bangsa. Saya harap ini adalah sandiwara terakhir beliau.

Sebenarnya, pada 1972, Tunku Abdul Rahman Putra bersama Syed Jaafar Albar juga pernah merancang menubuhkan parti baru untuk melawan Umno, setelah Tun Abdul Razak Hussein membawa masuk semula Mahathir dalam Umno dan melantiknya sebagai senator. Tetapi rancangan tersebut dibatalkan untuk mengelakkan perpecahan Melayu pasca 13 Mei 1969.

Image may contain: 1 person
Politik Mahathir memang licik. Beliau sentiasa mempunyai tektik atau buah kilas untuk menjatuhkan musuhnya. Aturan bukan hal yang penting bagi beliau. Demi Matlamat, apa pun cara mesti digunakan.

Bagi parti PAS pula, sangat banyak rekod pergaduhan dan sandiwara politik dengan Mahathir jika mahu disenaraikan di sini. Tetapi cukuplah dengan dua contoh sahaja:

I. Mahathir menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin yang memperalatkan agama dan nyanyok, tetapi mahu menziarahi kubur bekas Mursyidul Am PAS itu bersama pemimpin PAN ketika kempen Pilihan Raya Umum 2018 sehingga dihalang oleh keluarga Almarhum.

II. Mahathir menuduh dalam ceramahnya di Lembah Pantai, bahawa pendukung Ustaz Fadzil Noor yang terbunuh di Memali sebagai 'mati katak,' seminggu kemudian menziarahi kubur bekas Presiden PAS bersama pemimpin PAN sambil mendakwa "Fadzil Nor guru saya."

Nampaknya, Tun Mahathir akan terus bersandiwara kepada rakyat Malaysia. Saya mahu terus berjuang! Saya nak bantu agama! Saya nak bela bangsa! Siapa yang akan percayakan Tun M lagi? Harap parti Pejuang ini adalah sandiwara terakhir Tun M.

FB Mohd Fadhli Ghani

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo