Qadha Sunat Subuh Selepas Fardu Subuh

SOALAN :

Adakah betul orang cakap kalau kita tidak sempat solat sunat subuh sebab imam telah mulakan solat kita boleh qadha selepas solat subuh sebab yang saya belajar lepas solat subuh tidak boleh solat?


JAWAPAN :

Memang benar tidak ada lagi solat selepas solat fardu subuh sehinggalah naik matahari tinggi sedikit.

Tetapi jika seorang itu tertinggal solat subuh kerana uzur seperti bangun lambat atau imam telah mulakan solat fardu maka harus hukumnya dia qadha solat sunat subuh itu selepas solat fardu subuh.

Telah diriwayatkan daripada Qis bin ‘Amr An-Ansori r.a. katanya :

رأى رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ رجلًا يُصلِّي بعد صلاةِ الصُّبحِ فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : صلاةُ الصبحِ ركعتانِ فقال الرجلُ إني لم أكنْ صليتُ الركعتَينِ اللتين قبلَهما فصلَّيتُهما الآنَ فسكت رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ

Artinya : “Rasulullah saw telah melihat seorang lelaki solat selepas solat fardu subuh maka bertanya oleh Rasulullah : Solat subuh hanya dua rakaat. Kata lelaki itu : Sungguhnya aku belum tunaikan solat sunat sebelum fardu subuh maka sekarang aku tunaikanlah keduanya. Maka diam oleh Rasulullah saw.” (Hadith riwayat Abu Daud)

Delah diriwayatkan daripada Atha’ :

أَنَّ رَجُلًا صَلَّى مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاةَ الصُّبْحِ ، فَلَمَّا قَضَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلَاةَ قَامَ الرَّجُلُ فَصَلَّى الرَّكْعَتَيْنِ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا هَاتَانِ الرَّكْعَتَانِ ؟ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، جِئْتُ وَأَنْتَ فِي الصَّلَاةِ وَلَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ ، فَكَرِهْتُ أَنْ أُصَلِّيَهُمَا وَأَنْتَ تُصَلِّي ، فَلَمَّا قَضَيْتُ الصَّلَاةَ قُمْتُ فَصَلَّيْتُ الصَّلَاةَ ، فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Artinya : “Sungguhnya seorang lelaki telah solat ia bersama Nabi saw akan solat subuh. Maka tatkala selesai Nabi saw dari solat bangun seorang lelaki mengerjakan pula solat dua rakaat. Maka Nabi saw berkata baginya : Dua rakaat apakah ini? Kata lelaki itu : Wahai Rasulullah. Ketika aku tiba aku dapati tuan telah berada di dalam solat dan aku belum solat sunat dua rakaat subuh maka aku tidak suka tunaikan kedua rakaat itu sedangkan tuan sudah berada dalam solat. Maka apabila apabila selesai aku dari solat fardu subuh aku solat pula sunat subuh. Maka ketawa Rasulullah saw.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Kesimpulannya siapa yang terluput mengerjakan solat sunat subuh maka harus dilakukannya selepas dari solat fardu subuh.

Inilah pendapat yang sahih di sisi mazhab Syafie dan jumhur ulamak mazhab yang empat.

wallahua’lam 

FB ustaz azhar idrus




Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!
Previous Post Next Post