PRK Slim: Presiden PAS seru pengundi supaya undi calon BN








KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengimbas iktibar penting betapa pergaduhan dan perpecahan bangsa dalam negara ini yang seperti berlaganya lesung dan alu telah mengenyangkan ayam.

Sebaliknya kemuka beliau, apabila pergaduhan dihentikan dan kemudian bersatu, kejayaan telah dapat dicapai sebagaimana PAS dan BN dalam penyertaannya pada Pilihan Raya Kecil selepas daripada PRU14.

“Kali yang pertama, Sungai Kandis belum lagi, baru gear satu. Masuk gear dua, gear tiga, alhamdulillah. Kita sapu semua. Saya yakin dan percaya, pengundi Slim ini akan sapu insya-Allah. Akan buat perubahan.

“Walaupun pilihan raya ini Pilihan Raya Kecil, Slim, maknanya sangat besar untuk kita hadapi Pilihan Raya Umum. Orang Slim kena sedar ini bukan pilihan raya dia, pilihan raya seluruh Malaysia.

“Undi Slim menjadi penentu Pilihan Raya Umum yang ke-15. Lepas ini Sabah, kita akan bekerja. Dengan sebab itu saya mengharapkan supaya pengundi-pengundi Slim ini buat perubahan bersama Muafakat Nasional yang telah kita bentuk pada hari ini,” serunya pada ceramah sempena PRK DUN N.58 Slim di Slim River, Tanjung Malim, di sini.

Menurutnya, walaupun yang bertanding adalah calon BN, tetapi mewakili semua iaitu Muafakat Nasional, termasuk BERSATU, Perikatan Nasional, termasuk MCA, MIC, dan lain-lain.

Jelasnya, gabungan itu mengambil parti-parti terlibat dalam Kontrak Sosial ketika mencapai kemerdekaan, berbanding parti yang tahu bagaimana perjuangan kemerdekaan dan menubuhkan negara masyarakat majmuk yang belum sempurna.

Katanya, Pakatan Harapan adalah parti-parti yang terlalu baharu dan tidak menghayati Kontrak Sosial dibina Perlembagaan Malaysia hingga menimbulkan kecelaruan dan tidak ada perubahan dibuat.

“Kita nak buat perubahan, kita nak undi calon kita Muafakat Nasional, simbol kita dacing. Orang PAS jangan berbulu mata tengok dacing, itu dulu. Itu dulu. Sekarang ini kita sudah bersama, dulu. Apa sahaja simbol, kita bersama, kita dukung bersama,” ujarnya.

Beliau menamatkan ceramahnya dengan menyampaikan tiga rangkap pantun:

Sama-sama angkat baldi,
Kita isi buah berangan,
Jangan silap memangkah undi,
Nanti menyesal masa berpanjangan.

Tangan dihulur tangan berjabat,
Supaya kita makin dekat,
Calon kita calon hebat,
Sama-sama kukuh muafakat.

Kita muafakat sama membajak,
Sama minum satu perigi,
Pengundi Slim orangnya bijak,
Jangan silap pangkah undi.




Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post