PRK Slim: Kawalan ketat di Pusat Penamaan Calon

Image
UJIAN SUHU... Petugas keselamatan melakukan ujian suhu ke atas petugas pada hari penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) hari ini. - SinarOnline

TANJUNG MALIM – Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim telah dikawal ketat oleh pihak polis bermula pagi ini.

Ini dapat lihat apabila pemeriksaan dilakukan ke atas individu yang ingin memasuki Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) dari jalan utama.

Polis juga telah menutup laluan itu yang membabitkan simpang masuk ke MDTM dari Jalan Persekutuan berhadapan Petronas Behrang 2020 dan laluan masuk ke MDTM melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana.

Sebelum itu, hanya pemandu yang memiliki pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibenarkan melalui jalan utama menuju ke Pusat Penamaan Calon.

Anggota polis mengawal laluan masuk ke pusat penamaan calon pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2020.

Mereka yang tidak memiliki pas telah diarahkan berpatah balik.

Ini kerana dua sekatan jalan raya dibuat di Jalan Persekutuan di Kilometer 117 menghala Selatan dan Kilometer 121 arah Utara bagi mengelak sebarang aktiviti perarakan dan berkumpul oleh penyokong parti yang bertanding.

Sementara itu, laluan masuk ke pusat penamaan calon bagi Barisan Nasional (BN) adalah melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana manakala bakal calon lain yang bertanding boleh menggunakan laluan di Jalan Persekutuan.

Dalam pada itu, penamaan calon PRK yang kali kedua diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan bermula pukul 9 pagi dengan calon diberikan masa sejam untuk mengemukakan borang pencalonan.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Setakat ini dua calon sudah diumumkan untuk bertanding bagi kerusi DUN tersebut iaitu masing-masing daripada BN dan Bebas.

BN mengemukakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz manakala calon Bebas yang memakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air menamakan seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka.

DUN Slim memiliki 23,094 pengundi berdaftar. – MalaysiaGazette

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post