Politik Kasih Sayang : Jadi Ketua Menteri Atau Ketua Pembangkang

Sungguhpun pesta pilihan raya di negeri Sabah tercinta ini bakal berlangsung tidak sampai sebulan lagi, namun teka-teki calon dan parti yang bertanding di satu-satu kerusi Dun masih belum terungkai.

Pembubaran Dun yang dibuat oleh Dato' Seri Shafiee Apdal umpama butang reset yang mampu menyelesaikan kemelut politik dalam negeri.

Kebanyakan rakyat ternyata gembira apabila Warisan turun dari takhtanya ekoran prestasi mereka yang kurang membanggakan sepanjang menguasai negeri selama lebih 25 bulan.

Tahun 2019 menunjukkan KDNK Sabah yang berada pada paras paling rendah iaitu 0.5%.

Kadar pengangguran berada pada paras 5.8%, yang terburuk dalam tempoh 20 tahun (bermakna lebih daripada 117,000 rakyat Sabah tidak mempunyai pekerjaan menjelang 2020).

Penguncupan KDNK Sabah selama dua tahun berturut-turut iaitu 1.5% pada 2018 dan 0.5%  pada 2019 berbanding 8.2% pada tahun 2017 ketika BN mentadbir. Situasi ini sekaligus memberi gambaran trend bahaya.

Tambahan lagi, bantuan Covid19 yang diuruskan kerajaan negeri baru-baru ini turut menerima kritikan terbuka marhaen.

Fakta-fakta ini sudah cukup membuktikan Warisan pimpinan Dato' Seri Shafie Apdal gagal dalam membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat Sabah.

Justeru, hadirnya pilihan raya negeri ini adalah satu peluang terbaik untuk meletakkan Warisan dan sekutunya di kerusi pembangkang dalam Dun Sabah.

Rakyat kebanyakan ternanti-nanti untuk menaikkan kerajaan baharu yang lebih berkebolehan mentadbir negeri dan amanah dalam menjaga kebajikan rakyat.

Slogan 'Ubah Balik' dan 'Salah Ubah' sudah sering kedengaran melenyapkan slogan 'Sabah Ubah'.

Tidak dinafikan antara formula terbaik bagi mengalahkan Warisan dalam PRN ini ialah menggunapakai formula 'satu lawan satu'.

Namun ironinya parti pembangkang Sabah sehingga hari ini masih belum wujud persefahaman yang jelas.

Dato' Seri Bung Mokhtar Radin, Pengerusi UMNO Sabah berkali-kali menyuarakan kesatuan UMNO di negeri ini bersama parti lain adalah atas koalisi BN Plus.

Tiada Muafakat Nasional sebagaimana kerjasama PAS - UMNO yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada 23 Ogos mengenai pembentukan pakatan semua parti pembangkang di Sabah bagi menghadapi PRN tetapi membelakangkan kerjasama dengan PAS dan BERSATU.

Sebaliknya, antara parti yang disebutnya dalam pembentukan pakatan itu ialah PCS, SAPP, LDP,  PBS, PPRS dan STAR.

Pun demikian, sehari kemudian Dato' Seri Anifah Aman, Presiden PCS menyatakan pendirian partinya untuk tidak akan berpakat atau bergabung dengan parti lain termasuk UMNO BN.

Begitu juga LDP melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Yong Wui Chung menegaskan parti itu tidak akan bergabung atau menyertai UMNO BN, sebaliknya mahu bergerak sendiri dan bertanding di sebanyak mungkin kerusi.

Sementara itu, berdasarkan perkembangan terkini Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden BERSATU pula dijadualkan akan mengadakan lawatan ke Sabah mulai Sabtu ini.

Seiring dengan lawatan itu beliau dijangka melancarkan Perikatan Nasional (PN) untuk peringkat negeri Sabah.

Menurut laporan The Star, sumber BERSATU Sabah mengesahkan Tan Sri Muhyiddin akan melancarkan gabungan itu di Kota Kinabalu.

Walaupun sumber itu tidak menyatakan parti politik mana yang terlibat dengan PN Sabah itu, namun melalui khabar-khabar politik mendakwa BERSATU akan membawa PAS, PBS, STAR, SAPP dan MIC dalam gabungan tersebut.

Ia sekaligus akan merumitkan lagi strategi politik 'satu lawan satu' bagi menumbangkan Warisan.

Jika ditanya tujuan menyertai PRN kepada mana-mana parti atau gabungan politik, sudah pasti jawapannya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan negeri.

Ekoran itu, pemimpin utama pembangkang perlu melihat situasi politik hari ini dalam kaca mata yang lebih luas.

Jika hanya memikirkan untuk menang di kerusi tradisi yang ditandingi atau mana-mana kerusi lain yang ditandingi, maka formula satu lawan satu boleh diabaikan.

Tanpa formula satu lawan satu, menang sebahagian daripada 73 kerusi yang dipertandingkan boleh direalisasikan, namun untuk mendapat kerusi majoriti sekaligus menguasai negeri memerlukan strategi lain.

Pembangkang Sabah perlu sepakat sekiranya serius hendak tumbangkan Warisan dan sekutunya.

Pembangkang Sabah perlu duduk semeja dan capai kata sepakat agar formula yang tepat perlu dipersetujui bagi menumbangkan Warisan dan sekutunya.

Hari ini, pilihan terletak di tangan pembangkang Sabah sama ada mahu jadi Ketua Menteri atau Ketua Pembangkang.

-----

Catatan politik kasih sayang,
Taman Indah Jaya, Sandakan.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post