NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pentaksiran baharu ke SBP diumum dalam masa terdekat


KUALA LUMPUR: Pentaksiran baharu bagi kemasukan murid tahun enam dan pelajar tingkatan tiga ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diumum dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata pentaksiran baharu itu diperkenal susulan keputusan Kementerian Pendidikan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.

Katanya, bagi murid dan pelajar lain, kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) akan terus digunakan dan sehingga kini, sekolah tidak berdepan masalah untuk menilai prestasi mereka.

"Pentaksiran ke asrama penuh bagi murid tahun enam dan tingkatan tiga, kita akan maklum dalam masa terdekat. Ketika saya umumkan batalkan UPSR dan PT3 tahun ini, memang kita ada kaedah yang sudah dilaksanakan. Ia dapat dilaksana dengan baik sepanjang tempoh ini.

"Sejak dia masuk darjah satu pun sudah dinilai. Perkembangannya pun kita sudah ikut. Kita sudah lihat rekodnya pun. Sudah ada banyak maklumat yang kita boleh rujuk. Selepas sekolah dibuka dan ada proses penilaian, itu boleh diadakan dalam bilik darjah," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Putrajaya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, kementerian juga sedang menilai keberkesanan pemansuhan sistem peperiksaan pada murid tahap satu.

"Ini perkara yang sedang diteliti secara menyeluruh. Secara prinsipnya, apabila saya lihat sistem pendidikan di Australia dan kembali ke tanah air, (murid) darjah satu dua sudah pergi tuisyen, ambil peperiksaan dan sebagainya. Ini satu keadaan yang tidak kondusif untuk perkembangan anak-anak.

"Sebab pada umur terlalu muda ini, adalah ruang untuk anak-anak bina karakter. Kita tak boleh terus menekan mereka dengan peperiksaan. Sebab itu perkara ini saya sedang lihat secara menyeluruh. Dalam usia sebegini kita melihat minat mereka dalam konteks enrolmen dalam sains dan teknologi semakin tahun semakin kurang," katanya.

Beliau berkata, keadaan ini berbeza dengan sistem pendidikan di negara maju lain yang mana sains dan teknologi dilihat sebagai subjek yang diberi penekanan memandangkan ia berupaya memacu ekonomi masa depan.

"Dunia sedang melihat kepakaran dalam sains dan teknologi untuk memacu ekonomi pada masa depan tetapi enrolmen (murid) kita mengurang. Untuk membentuk generasi ke arah itu, ia mesti bermula dari awal.

"Kita lihat semua sistem untuk melihat kaedah yang terbaik namun apa-apa yang sedang dilaksanakan, bawa kebaikan kita akan teruskan," katanya. - BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo