PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mengingatkan kerajaan pengenalan cukai baharu boleh merencatkan usaha pemulihan ekonomi.
Mengulas seruan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan supaya cukai kekayaan dan warisan harta diperkenalkan, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, Carmelo Ferlito, berkata: “Kita perlu mengelakkan cukai berkenaan, terutama masa sekarang.”
Bentuk cukai sedemikian boleh tidak mengalakkan kegiatan ekonomi, katanya kepada FMT.
Mohamad mencadangkan pengenalan cukai baharu itu bagi mengimbangi penurunan hasil cukai sekiranya kerajaan menerima cadangannya mengurangkan cukai korporat bagi menarik pelabur.
Mohamad menjelaskan cukai kekayaan dan warisan harta juga dapat membantu mengatasi masalah kesenjangan kekayaan.
Ferlito menyokong gesaan menurunkan cukai korporat, menjelaskan pengurangan cukai insentif biasa dalam kegiatan ekonomi.
Kadar standard bagi cukai korporat di Malaysia adalah 24%. Di Singapura, kadar itu sebanyak 17% dan di Thailand, 20%.
Bagaimanapun, Ferlito menegaskan perubahan cukai tidak sepatutnya menjadi satu-satunya unsur yang dipertimbangkan dalam strategi pemulihan ekonomi.
Beliau menyeru pendekatan holistik yang mengambil kira persekitaran umum perniagaan.
Seorang lagi pakar ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, menyifatkan cukai kekayaan dan warisan harta tidak relevan di Malaysia kerana jurang kekayaan di negara ini tidak terlalu lebar.
Beliau sebaliknya menggesa kerajaan melaksanakan langkah reformasi ekonomi yang mengutamakan majoriti penduduk.
“Kerajaan sepatutnya menyasarkan golongan B40 kerana ia kumpulan terbesar yang boleh membantu memulihkan ekonomi,” katanya.
“Cadangan reformasi cukai itu tidak akan memberi manfaat kepada mereka sama sekali.”
Ferlito pula menjelaskan sebarang pemberian insentif besar bagi menarik pelaburan asing akan terbatas sekiranya kerajaan tidak beri perhatian sewajarnya kepada kepentingan membuka sempadan.
“Sudah masanya memikirkan pembukaan sempadan di peringkat Asean secara berselaras dan berperingkat,” katanya. “Inisiatif ini akan memberi impak besar pada keyakinan pelabur, yang sangat diperlukan sekarang.
“Untuk memudahkan kita faham betapa pentingnya tindakan berselaras, kita ambil contoh perdebatan tentang membuka sempadan Bali kepada pelancong asing.
“Langkah itu tidak berkesan sekiranya pelancong dibenarkan melawat Bali tetapi tidak dibenarkan keluar negara masing-masing.
“Sangat jelas sebarang inisiatif yang bersendirian dan tidak berselaras tidak akan menghasilkan kesan diharapkan.”
Bagaimanapun, Barjoyai pula menggesa kerajaan mengenepikan rancangan membuka semula sempadan negara tahun ini.
“Kita mendedahkan rakyat kepada risiko gelombang jangkitan baru,” katanya.
“Bila kita memutuskan untuk menutup sempadan, ia untuk menyelamatkan nyawa berbanding ekonomi.”
Beliau berkata Thailand menunjukkan contoh baik kerana ia menutup sempadan sehingga tahun depan meskipun bergantung sepenuhnya kepada industri pelancongan sebagai pendapatan utama. - FMT
No comments
Post a Comment