Letupan Besar Yang Mengegarkan Lubnan: Siapa Yang Untung ?


Letupan besar yang menggegarkan Beirut, Lubnan minggu lalu telah memberi impak yang sangat besar kepada politik Lubnan khususnya dan Timur Tengah secara umumnya. Letupan di sebuah gudang yang dipenuhi dengan ammonium nitrat berhampiran pelabuhan di Beirut telah mengakibatkan hampir 200 nyawa tidak berdosa terkorban dan lebih 6000 orang cedera.

Peristiwa itu juga telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada bangunan di sekitarnya, begitu juga rumah dan harta benda yang dianggarkan bernilai lebih USD 10 Billion. Besarnya letupan tersebut sehinggakan gegarannya dirasai sampai ke Turki, Syria dan beberapa negara berhampiran. United States Geological Survey mengesan gegaran tersebut sebagai kejadian seismic berskala 3.3 magnitud.

Seluruh dunia menyaksikan letupan tersebut dengan penuh ketakutan dan pelbagai analisa serta teori bagaimana kejadian itu berlaku dan sebabnya diulas. Ternyata letupan besar tersebut menyamai letupan 1.2 kiloton TNT atau 5.0 Terajoules ( TJ ) iaitu hampir menyamai letupan yang dihasilkan oleh peluru berpandu yang dilengkapi dengan kepala peledak nuklear W25, iaitu berpeluru berpandu nuklear bersaiz kecil.

Maka tidak hairanlah letupan tersebut telah mengakibatkan kerosakan yang amat teruk di Beirut hinggakan di kawasan gudang yang menyimpan ammonium nitrat tersebut telah terhasil lompongan atau lubang yang cukup besar akibat daripada letupan tersebut. Malah terdapat pakar – pakar letupan membuat ulasan bahawa ia adalah letupan bukan nuklear yang paling kuat dalam sejarah dunia.

Lubnan sebenarnya adalah sebuah negara yang sangat penting walaupun ia bersaiz kecil. Kedudukannya yang berada di salah satu pusat konflik terbesar di dunia iaitu di antara negara haram Israel dan Palestin di mana Lubnan bersempadan di sebelah utara telah membuat Lubnan sentiasa menjadi tumpuan dunia apabila berlaku sesuatu perkara terutamanya membabitkan konflik mahupun kekacauan.

Justeru tidak hairanlah apabila Lubnan sentiasa mendapat perhatian negara-negara lain khususnya kuasa-kuasa besar dunia. Ini di tambah lagi dengan kewujudan kumpulan-kumpulan penentang Israel khususnya Hizbullah yang menjadikan Lubnan sebagai pusatnya. Maka tidak peliklah apabila selalu kedengaran Hizbullah mahupun Lubnan sendiri menjadi sasaran baik Amerika Syarikat mahupun regim Israel.

Lubnan sebelum ini tidak dianggap sebagai sebuah negara yang menjadi ancaman kepada Israel namun keadaan ini berubah selepas kewujudan Hizbullah yang disokong oleh Iran yang setiap saat semakin membesar dan bertambah kukuh di Lubnan. Kekuatan Hizbullah digeruni regim Israel apabila kerap kali dilihat tentera regim Israel cuba melemahkan Hizbullah dengan menyerang kedudukan tenteranya.

Regim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat cuba untuk menyekat pengaruh dan kekuatan Hizbullah di Lubnan dengan menempatkan pengkalan tenteranya di Lubnan kononnya untuk menjadi pendamai kepada perang saudara yang berlaku pada ketika itu iaitu di antara 1975 – 1990.

Namun akhirnya Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya selepas berlaku serangan berdarah oleh Hizbullah ke atas pengkalan tentera marin Amerika Syarikat yang mengorbankan tidak kurang daripada 100 orang tentera marin Amerika Syarikat.

Beberapa minggu sebelum berlakunya letupan di Beirut, ketegangan di antara regim Israel dan Hizbullah semakin memuncak sehingga berlakunya serangan tentera regim Israel ke atas pejuang-pejuang Hizbullah yang didakwa menyelinap masuk ke dalam Israel, namun ianya dinafikan oleh pihak Hizbullah. 

Insiden ini membuatkan regim Israel menempatkan tentera-tenteranya di sempadan di antara Israel dan Lubnan. Tidak sampai seminggu selepas insiden tersebut, berlakulah letupan dahsyat berdekatan pelabuhan di Beirut. Lubnan yang ketika ini sedang dilanda kegawatan ekonomi yang teruk, terpaksa berdepan pula insiden letupan yang mampu meranapkan negara dan rakyatnya.

Lubnan sebelum ini pernah berdepan dengan pelbagai krisis yang sengaja dicipta untuk memastikannya berada dalam keadaan tidak stabil. Perang saudara yang berlaku dari tahun 1975 – 1990 yang telah mengakibatkan lebih 120,000 orang terkorban dan hampir 1 juta rakyat Lubnan meninggalkan Lubnan sebenarnya telah awal menghancurkan Lubnan.

Perang saudara tersebut yang menurut ramai pakar geopolitik adalah strategi regim Israel untuk menguasai Lubnan, di mana pada ketika itu regim Israel telah hampir menguasai lebih tujuh puluh peratus bumi Palestin. Penaklukan regim Israel ke atas Palestin membuatkan ramai pejuang Palestin melarikan diri ke Lubnan untuk menyelamatkan diri dan memulakan semula perjuangan mereka.

Dengan alasan untuk menghapuskan saki baki pejuang Palestin yang berada di Lubnan, sepanjang perang saudara di Lubnan tersebut, regim Israel telah beberapa kali menakluk bumi Lubnan seperti di bahagian selatan Lubnan seperti pada 1978 dan Beirut pada 1982. Strategi regim Israel juga termasuk membekalkan senjata dan bantuan kewangan kepada pihak yang berkepentingan baginya ketika perang saudara tersebut.

Banyak tulisan mahupun kajian geopolitik dunia barat menyalahkan pejuang Palestin yang melarikan diri ke Lubnan sebagai punca berlakunya perang saudara di Lubnan walhal jika dikaji dengan mendalam dan teliti, sebenarnya regim Israel adalah punca sebenar terjadi perang saudara di Lubnan. Cita – cita Zionisme Israel bukan hanya sekadar Palestin, Israel Raya adalah jauh lebih besar dari Palestin.

Ketika artikel ini ditulis, ribuan rakyat Lubnan keluar ke jalan raya memprotes kerajaan dan menuntut supaya dikenakan hukuman terhadap pihak yang bertanggungjawab di atas insiden ini. Protes tersebut yang semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat Lubnan juga mendesak agar kerajaan Lubnan bertanggungjawab di atas insiden letupan yang berlaku.

Rakyat Lubnan mendesak agar kerajaan Lubnan bertanggungjawab atas kelemahan dan kepincangan hingga menyebabkan insiden tersebut berlaku. Akibat desakan yang kuat daripada rakyat, awal minggu ini, Perdana Menteri dan seluruh kabinet kerajaan Lubnan akhirnya meletakkan jawatan.

Apa yang pasti saat ini Israel tidak akan mahupun perlu melakukan apa-apa tindakan, hanya menunggu dan melihat sahaja tindakan rakyat Lubnan sendiri untuk menjatuhkan Hizbullah mahupun kerajaan Lubnan. Dengan mengapi – api sentimen akibat insiden tersebut kepada rakyat Lubnan, regim Israel sebenarnya hanya menunggu masa sahaja akan saatnya kejatuhan Hizbullah.

Tidak salah untuk dikaji dan diteliti kesan dan implikasi daripada letupan yang menggegarkan bandar Beirut beberapa hari lepas. Pelbagai teori akan kesan dan implikasi telah ditulis oleh penganalisa politik mahupun akhbar serata dunia akibat daripada insiden tersebut.

Namun untuk mengkaji dan meneliti dengan lebih tepat, satu persoalan yang perlu diketengahkan setelah melalui kajian dan penelitian iaitu siapakah yang paling untung daripada peristiwa ini ? Jika dapat diketahui jawapannya secara jelas, maka ianya akan memudahkan untuk merungkai dan meleraikan persoalan pokok yang melanda rantau Timur Tengah.

Jika diteliti keadaan rantau Timur Tengah saat ini berserta konflik yang sedang melanda rantau tersebut termasuk negara – negara yang hampir dengan rantau tersebut, semuanya sedang dilanda konflik baik perang saudara, kegawatan ekonomi mahupun ketidakstabilan politik.

Syria, Iraq, Libya, Sudan, Lubnan, Yaman dan beberapa negara lagi berhadapan masalah yang sama. Apabila dilihat persamaan negara – negara ini, apa yang dapat kita lihat ialah kesemua negara – negara tersebut adalah musuh kepada regim Israel. Adakah semua ini secara kebetulan mahupun semuanya memang terancang ?

Kita hanya mampu meneka, berteori mahupun mengkaji untuk mendapatkan kepastian. Doa saya dan saya mengajak sahabat – sahabat semua turut berdoa agar Lubnan dan rakyatnya diberikan kekuatan, kecekalan dan keazaman untuk bangkit semula menghadapi saat – saat getir ini untuk membangunkan semula negara mereka, diri mereka dan komuniti mereka.

Saya juga berharap agar pelaku yang hampir menghancurkan Beirut dan membunuh mahupun mencederakan warganya ditahan dan dibawa ke muka pengadilan. Begitu juga buat negara – negara Dunia Islam di Timur Tengah, bangkitlah dan sedarlah, usah dipermain dan dipergunakan musuh Islam. Sudah sampai masanya Islam kembali menyinar dan kuat di bukan sahaja di Timur Tengah tetapi seluruh dunia.

Kuatkan persaudaraan dan kerjasama. Eratkan perpaduan, sesungguhnya umat dan Dunia Islam akan kuat jika berkerjasama dan bersatu – padu. Semoga Allah SWT memelihara dan melindungi seluruh umat dan Dunia Islam.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3152571351465022&id=526079594114224
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post