Makmum Tidak Dengar Bacaan Amin Imam


SOALAN :

Dalam solat jemaah jika makmum tidak dapat dengar suara imam ketika menyebut amin fatihah sebab perlahan atau bising adakah makmum kena ucap juga amin?

JAWAPAN :

Disunatkan bagi makmum menyebut amin pada bacaan fatihah imam bersamaan sebutannya dengan sebutan amin imam.

Akan tetapi jika makmum tidak mendengar sebutan amin oleh imam maka pendapat yang sahih ialah makmum tersebut tidak disunatkan menyebut amin dan bersamaan hukumnya jika makmum hanya mendengar ucapan amin dari makmum yang lain bukan daripada imamnya.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

اتفقت المذاهب الأربعة على أنه يسن التأمين عند سماع قراءة الإمام أما إن سمع المأموم التأمين من مقتد آخر فللفقهاء في ذلك رأيان الأول ندب التأمين وإليه ذهب الحنفية وهو قول للمالكية وقول مضعف للشافعية الثاني لا يطلب التأمين وهو المعتمد عند الشافعية والقول الآخر للمالكية.

Artinya : “Telah sepakat sekelian mazhab yang empat atas bahawasanya disunatkan sebut amin ketika mendengar sebutan amin imam. 
Ada pun jika dengar makmum hanya dari amin makmum yang lain maka bagi ulamak fiqah pada hukum yang demikain itu ada dua pendapat .
Pendapat yang pertama disunatkan sebut amin dan berjalan kepadanya oleh mazhab Hanafi dan ialah satu pendapat bagi mazhab Maliki dan pendapat yang dhaif dalam mazhab Syafie.
Pendapat yang kedua tidak dituntut makmum menyebut amin. Inilah pendapat yang muktamad di sisi mazhab Syafie dan pendapat yang lain bagi mazhab Maliki.”

KESIMPULAN

Sunat makmum menyebut amin bersama dengan imamnya pada bacaan fatihah yang dibaca kuat kerana siapa yang menyebut amin bersama dengan imam nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu oleh Allah Taala.

Jika makmum tidak mendengar bacaan amin imam sebab bising atau jauh dari imam atau perlahan suara imam maka tidak sunat makmum mengucapkan amin tetapi jika makmum mengucapkan juga amin maka tidaklah menjadi kesalahan.

wallahua’lam 


0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post