Gagal Kuarantin Di Rumah, Polis Ambil Keterangan Khairuddin

KUALA LUMPUR, 27 Ogos  -- Polis hari ini mengambil keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada Julai lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, Mohd Khairuddin memberi keterangan di Bukit Aman pukul 8 malam.

“Sesi mengambil keterangan (di bangunan Parlimen) semalam tidak dibuat, sebaliknya polis ambil keterangan beliau (Mohd Khairuddin) diambil pukul 8 malam ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hari ini, lebih 20 wartawan berkumpul di luar Bukit Aman, selepas beberapa media melaporkan bahawa Mohd Khairuddin akan hadir memberi keterangan kepada polis.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dipercayai masuk ke Bukit Aman menggunakan kenderaan lain bagi mengelak ditemu bual pengamal media, yang menunggu kehadiran beliau.

Setakat pukul 10 malam, Mohd Khairuddin dipercayai masih memberi keterangan di Bukit Aman.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, isu mengenai Mohd Khairuddin telah diserahkan kepada polis untuk disiasat.

Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini memberitahu Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lepas, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor, mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah, setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas.


-- BERNAMA

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post