NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cadang dakwa semula 12 suspek bunuh Adib


KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

"Ini akan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah. Siri tindakan ini susulan keputusan yang dicapai Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu.

"Mahkamah memutuskan punca kematian Adib bukan disebabkan kemalangan, tetapi perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih suspek.

"Berdasarkan keputusan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan selari arahan Jabatan Peguam Negara dan kumpulkan bukti yang ada untuk kemukakan semula kepada pihak pendakwaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pada 13 Julai lalu dilaporkan berkata masih tiada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar melihat Muhammad Adib dipukul.

Abdul Hamid berkata, semua keterangan yang diperoleh pihaknya bersifat dengar cakap dan pendapat.

Bagaimanapun katanya, usaha mengenal pasti pelaku jenayah masih dijalankan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/717914/cadang-dakwa-semula-12-suspek-bunuh-adib

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo