NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

AirAsiaX: Sudah Jatuh Ditimpa Covid


Pada 25 April lepas, sedang saham AirAsia X naik kerana ‘dimainkan’ traders, saya ada menulis artikel (klik sini) memberi amaran bahawa nilai aset bersih syarikat boleh menjadi negatif dalam masa hanya dua suku tahun.

Seorang pembaca, Mussab Alumair, telah memberikan ulasan bahawa ia akan berlaku dalam satu suku tahun sahaja, terutamanya kerana transaksi lindung nilai kos minyak, yang dijangka menimbulkan kerugian besar akibat kejatuhan harga minyak. (Mereka lindung nilai daripada kenaikan harga, sedangkan harga jatuh dengan ketara).

Ternyata beliau tepat sekali. Keputusan suku pertama AirAsia X baru sahaja dilaporkan tempoh hari, bukan sahaja sebulan lewat mengikut pelepasan umum yang diberikan kepada kebanyakan syarikat, tetapi dua bulan lewat.

Seperti yang dijangka, kerugian besar telah dialami.

Bursa Malaysia

Kerugian sesaham (EPS) berada pada 13.3 sen. Nilai aset bersih pula telah jatuh merudum kepada -21 sen. Apa maksudnya? Jumlah liabiliti melebihi jumlah aset.

Syarikat sepatutnya dimasukkan dalam klasifikasi PN17 dan ada sekatan urus niaga, tetapi Suruhanjaya Sekuriti telah memberi pelepasan kerana Covid-19.

Perlu diingat keputusan ini dicatatkan pada suku pertama. Tempoh PKP pada suku pertama hanya dua minggu. Jadi tak tahulah bagaimana keputusan pada suku kedua 2020 kelak.

Juruaudit telah menyatakan bahawa mereka ragu-ragu sama ada syarikat ini boleh diteruskan sebagai sebuah perniagaan. Malah ada penganalisis yang menetapkan fair value pada paras antara 0 – 1 sen.

Pelbagai persoalan yang timbul. Sebenarnya masalah sudah bermula sebelum pandemik menjelma lagi. Antara kemusykilan tentang syarikat:
Keputusan diaudit pada TK2019 kira-kira 30% lebih teruk (rugi lebih besar) daripada yang diumumkan sebelum ini.
Syarikat rugi 13 sen sedangkan nilai aset bersih menyusut kepada 21 sen. Maknanya ada item negatif yang tidak masuk dalam penyata untung rugi tetapi dihantar terus ke lembaran imbangan.
Tak tahu sama ada item yang mungkin belum direalisasi ini boleh dibalikkan pada masa depan
Bagaimana untuk meraih dana ekuiti dalam keadaan seperti ini jika pemegang saham utama tidak keluar duit?
Jika bantuan dalam bentuk pembiayaan kerajaan, adakah wang ini akan hangus akhirnya jika syarikat gagal?

Tidak dinafikan AirAsia X memberikan pilihan kepada pengguna dan adalah lebih baik bagi pengguna untuk mempunyai lebih banyak pilihan (walaupun jika sesetengah pihak kurang senang dengan customer service syarikat).

Tetapi saya sendiri tak tahu macam mana nak value syarikat seperti ini. Saya tak pasti sama ada nilai aset tak ketara seperti jenama dan hak laluan/penerbangan adalah lebih tinggi daripada liabiliti yang ditanggung.

Kita hanya boleh tunggu dan lihat. Soalannya ialah bagaimana saham masih berada pada paras antara 5 – 6 sen sedangkan nilai aset syarikat negatif? Kenapa masih ada orang sanggup beli? Mungkin saya akan cuba kupas dalam artikel lain.

Sumber: https://rencanaringgit.com/2020/08/05/airasiax-sudah-jatuh-ditimpa-covid/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo