33 Adun Sabah fail permohonan halang pilihan raya negeri

Kumpulan Adun Sabah diketuai bekas ketua menteri Musa Aman memohon injunksi terhadap keputusan pembubaran DUN. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Usaha pembangkang untuk mengambil alih kerajaan negeri mungkin telah gagal, tetapi kini 33 Adun yang diketuai bekas ketua menteri Musa Aman membawa kes mereka ke mahkamah.

Mereka mempersoalkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lepas.

Pembubaran itu membuka jalan kepada pilihan raya kilat negeri (PRN). Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikhnya dalam masa terdekat.

Kumpulan wakil rakyat itu memfaikan semakan kehakiman terhadap keputusan Juhar.

Kertas mahkamah difailkan oleh FT Ahmad dan Rakan Isnin lepas dan permohonan itu dijangka didengar esok.

FMT cuba menghubungi peguam terbabit, tetapi gagal mendapatkan komen.

Kumpunan Adun ini memohon injunksi terhadap pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis daripada Mohd Shafie Apdal, yang kini merupakan ketua menteri sementara, kepada Juhar supaya membubarkan DUN.

33 Adun tersebut menamakan Juhar sebagai responden pertama; Shafie, SPR dan kerajaan negeri sebagai responden ke-2, ke-3 dan ke-4 dalam tindakan undang-undang mereka yang dijangka akan mencabar kuasa perlembagaan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

33 pemohon terbabit adalah Musa yang merupakan Adun Sungai Sibuga, Bolkiah Ismail (Pitas), Julita Majungki ( Matunggong), Anita Baranting (Tandek), Musbah Jamli (Tempasuk), Japlin Akim (Usukan), Jahid Jahim (Tamparuli), Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Joniston Bangkuai (Kiulu), Kenny Chua (Inanam), Ghulam Haider Khan (Kawang), Mohd Ariffin Ariff (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Limus Jury (Kuala Penyu), Matbali Musah (Sindumin), Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Masidi Manjun (Karanaan), Abidin Madingkir (Paginatan), Jeffrey Kitingan (Tambunan), Robert Tawik (Bingkor), Jamawi Jaafar (Kemabong), Ellron Angin (Sook), Bobbey Suan (Nabawan), James Ratib (Sugud), Abdul Rahman Kongkawang (Labuk), Masiung Banah (Kuamut), Saddi Abdul Rahman (Sukau), Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Hamisa Samat (Tg Batu), Abdul Muis Picho (Sebatik), Osman Jamal (Balung) serta Adun dilantik Ronnie Loh dan Jaffari Waliam.

Minggu lepas Musa mendakwa mendapat sokongan daripada 33 Adun untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Awal minggu ini, 3 individu memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi menghalang PRN berikutan wabak Covid-19.

Peguam Marcel Jude dan ahli perniagaan Magret Binsing serta Tessa Romana mahu mahkamah membatalkan persetujuan Juhar untuk membubarkan DUN.

Mereka juga memohon perintah untuk menghalang pengerusi SPR daripada menjalankan PRN, melainkan perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 ditarik balik. - FMT
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post