NOTIS:
Tukar nama Laut China Selatan
“Semenjak 2011, pencerobohan kapal perang Republik Rakyat China (RRC) dalam kawasan perairan negara di Laut China Selatan berlaku hampir sekali setiap tahun.
Pada 2013, berlaku peningkatan pencerobohan oleh aset-aset RRC yang tertumpu di kawasan Beting Patingi Ali (BPA), Beting Raja Jarom (BRJ) dan Beting Serupai (James Shoaf), kesemuanya dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE). Sepanjang 2013 hingga Februari 2014, tujuh (7) pencerobohan dikesan yang melibatkan 16 buah aset-aset tentera laut atau People’s Liberation Army Navy (PLAN) dan China Maritime Surveillance (CMS) RRC”.
Begitulah petikan jawapan YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertarikh 17 Mac 2014. Beliau mengemukakan jawapan panjang berkenaan kepada soalan YB Liew Chin Tong [Kluang] ketika itu yang bertanyakan ‘kekerapan kapal perang asing menceroboh EEZ Malaysia terutama di Laut China Selatan sejak tahun 2005 hingga 2014, dan apakah pendirian Malaysia terhadap pencerobohan kapal perang China ke James Shoal, EEZ Malaysia pada 26 Januari 2014’.
Dua tahun kemudian, iaitu pada Mac 2016, kita sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan YB Shahidan Kassim bahawa sekitar 100 ke 150 buah kapal nelayan China diiringi kapal pengawal pantai China bertindak menceroboh perairan negara kita secara besar-besaran.
Sebagai tindak balas, Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketika itu, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Kahar mengerahkan kapal-kapal maritim dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung iaitu KM Banggi, KM Adil; KM Siakap; KM Jepak; KM Stapa dan KM Rhu ke kawasan yang dicerobohi terbabit dan menghalau kapal-kapal China itu ke kawasan kira-kira 15 batu nautika dari sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia/Indonesia. Namun begitu, sikap agresif China semakin menjadi-jadi.
Pada Disember 2019, rejim itu membantah tindakan Malaysia menghantar tuntutan persempadanan pentas benua di Utara Laut China Selatan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Hakikatnya, tindakan Malaysia menghantar tuntutan itu yang kedua selepas kali pertama melakukannya untuk bahagian Selatan di Laut China Selatan pada 2009 bersama-sama Vietnam jelas selari dengan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) yang menyatakan bahawa mana-mana negara berhak menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika dari garis pantainya.
Tindak balas
Pada 21 April 2020, China bertindak memberikan nama kepada 80 pulau dan ciri geografi lain di Laut China Selatan, termasuklah di wilayah perairan kita.
Terdapat tiga gugusan beting utama dalam wilayah kita yang cuba ditukar ke nama Mandarin oleh China iaitu Gugusan Beting Raja Jarum (Beikang Ansha), Gugusan Beting Patinggi Ali (Nankang Ansha), dan Beting Serupai (Zengmu Ansha).
Dalam setiap Gugusan Beting Raja Jarum dan Beting Patinggi Ali itu juga China memberi nama mereka yang tersendiri. Dalam Gugusan Beting Raja Jarum adanya Beting Rentap (Mengyi Ansha), Terumbu Asun (Haikang Ansha), Terumbu Datak Landih (Yijing Jiao), Terumbu Linggir (Faxian Ansha), Terumbu Permaisuri (Kangxi Ansha), Hempasan Dang Ajar (Nan’an Jiao), Terumbu Litong (Bei’an Jiao), dan Terumbu Lang Ngindang (Nanping Jiao).
Gugusan Beting Patinggi Ali pula terdiri daripada Terumbu Sahap (Hai’an Jiao), Terumbu Dato Talip (Yinbo Ansha), Terumbu Saji (Haining Jiao), Beting Merpati (Huanle Ansha), Terumbu Balingian (Tanmen Jiao), serta Hempasan Bentin (Qiontai Jiao).
Maka, dalam keadaan China giat memberi nama mereka sendiri ke atas terumbu dan benting dalam wilayah berdaulat kita, eloklah kiranya kita juga bertindak balas seperti mana tiga negara jiran kita: mereka menukar nama Laut China Selatan dalam Zon Maritim mereka yang berdaulat (bukannya perairan antarabangsa).
Jika Filipina menukar nama laut mereka kepada Laut Filipina Barat, Vietnam menukar kepada Laut Vietnam Timur, manakala Indonesia pula mengubah kepada Laut Natuna Utara, apa salahnya jika kita menunjuk isyarat tegas dengan menukar nama Zon Maritim kita daripada Laut China Selatan ke satu nama yang lain, seperti Laut Malaysia Raya misalnya?
* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment