NOTIS:
Sistem barter selamatkan rakyat Lubnan depani krisis kebuluran
BEIRUT, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Sistem barter di laman sosial Facebook menjadi pilihan terakhir bagi sebilangan rakyat Lubnan untuk meneruskan kehidupan, ekoran kemerosotan nilai mata wang dan harga barang melambung tinggi tahun ini.
Middle East Monitor melaporkan, terdapat wanita Lubnan yang meminta gula, susu dan sabun sebagai ganti kepada pakaian kanak-kanak.
Seorang lagi sanggup menukarkan peralatan gimnasiumnya untuk mendapatkan makanan dalam tin.
Sementara, seorang tukang jahit berusia 65 tahun kini terpaksa menukar perkhidmatan menjahitnya dengan makanan, kerana pelanggannya tidak lagi mampu membayar.
"Ini adalah peluang bagi orang yang memerlukan dan tidak dapat membeli…Anda tidak boleh terus meminta pertolongan," kata Siham, seorang ibu berusia 27 tahun yang menawarkan mesin pembersih botol susu sebagai ganti kepada makanan.
Semakin ramai penduduk Lubnan terpaksa beralih kepada badan amal atau inisiatif swasta untuk bertahan, ketika negara itu menghadapi krisis pada tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya.
Kejatuhan mata wang, yang menghapuskan hampir 80 peratus nilainya telah menjerumuskan banyak keluarga ke kancah kemiskinan
Bagaimanapun, negara yang tinggi hutangnya itu tidak banyak membantu.
Kumpulan Facebook, Hassan Hasna 'Lebanon barters' telah memperoleh lebih daripada 16,000 ahli dalam masa lebih kurang sebulan, dengan ahlinya bergantung kepadanya untuk mendapatkan makanan atau ubat-ubatan yang mereka tidak lagi perolehi.
"Sekumpulan rakan saya dan saya dapat menolong beberapa keluarga sekitar Krismas tahun lalu tetapi sekarang kami tidak dapat bekalan yang mencukupi untuk disumbangkan," katanya.
Lubnan sangat bergantung pada barangan import yang harganya melambung tinggi. Pemerintah juga telah menaikkan harga roti bersubsidi, mencetuskan protes bulan ini.
Laporan Program Makanan Sedunia pada bulan Jun mendapati, 50 peratus rakyat Lubnan bimbang mereka tidak mencukupi makanan.
"Sebilangan orang menganggap barter sebagai perkara yang teruk, mereka berkata demikian untuk menjelaskan betapa putus asanya kita. Tetapi saya tidak melihatnya seperti itu.
"Kami mengalami waktu yang sukar tetapi kita tidak akan meminta bantuan," kata Hasna.
Pemerintah Lubnan menganggarkan, 75 peratus penduduknya pada masa ini sangat memerlukan bantuan.
Menurut Human Rights Watch, berjuta-juta penduduk berisiko kelaparan jika pemerintah tidak membuat rancangan yang kuat untuk mengurangkan kemiskinan.
Dengan Lubnan menjadi negara ketiga yang paling tinggi berhutang di dunia, rakyatnya terpaksa berjuang untuk bertahan dalam keadaan yang teruk disebabkan oleh rasuah politik dan salah urus ekonomi. – Agensi
Sumber: https://ismaweb.net/2020/07/08/sistem-barter-selamatkan-rakyat-lubnan-depani-krisis-kebuluran/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment