NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS: Kemenangan BN di DUN Chini contoh kejayaan MN


PEKAN, 11 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Sabtu ini, berupaya menjadi satu lagi contoh terbaik kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan PAS.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini kerana pimpinan UMNO dan PAS berjaya mengetepikan perbezaan bagi memberi sokongan penuh kepada calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

"Ini dapat dilihat apabila Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang sebelum beberapa kali menjadi calon PAS di DUN Chini (menentang calon BN daripada UMNO), menjadi pencadang kepada calon BN," katanya pada program ceramah MN di Bandar Dara Chini, dekat sini, malam ini.

Antara pemimpin UMNO yang hadir adalah Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

Pemimpin PAS pula adalah Ketua Dewan Pemuda, Khairil Nizam Khirudin.

Turut hadir Menteri Besar Pahang selaku Pengarah PRK Chini, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengarah Operasi PRK Chini, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan serta calon BN, Mohd Sharim Md Zain. Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut dilihat menghadiri ceramah itu.

Tuan Ibrahim berkata contoh lain yang dapat dilihat ialah jentera PAS memberi kerjasama dalam setiap kempen calon BN itu.

"Ini menunjukkan pimpinan kedua-dua parti mengutamakan kepentingan rakyat. Saya juga berharap politik ini supaya jangan hilangkan kekuatan dan asas kita," katanya.

Tuan Ibrahim berkata kerjasama MN juga komited dengan persetujuan bahawa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pertandingan adalah satu lawan satu antara Perikatan Nasional (PN) dan parti lawan.

Sementara itu, Mohamad meminta pengundi menggandakan jumlah majoriti bagi memberi isyarat terhadap PN, dan dengan kerjasama MN, undi daripada PAS dan BN mampu memberikan kemenangan besar serta penyertaan PN bersama Bersatu juga diyakini mampu meraih sokongan pengundi.

"Ini adalah PRK pertama selepas penubuhan PN, dan kita mahu angka yang kita boleh jadikan sebagai rujukan untuk PRU akan datang," katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo