NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GPS terus sokong Muhyiddin - Abang Johari


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana negara memerlukan kerajaan yang stabil dalam menghadapi pelbagai cabaran sekarang.

Pengerusi GPS dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata salah satu daripada cabaran itu adalah pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

"Apa yang kita perlu ialah sebuah kerajaan yang amat stabil. Yang berebut-rebut hendak menjadi Perdana Menteri ini apa hal? Perdana Menteri sudah ada. Rakyat berkehendakkan kerajaan yang stabil dan mampu menumpukan (perhatian) kepada (keperluan) rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan tinjauan ke tapak cadangan untuk pembangunan hab petrokimia di Tanjung Kidurong, Bintulu, kira-kira 560 kilometer ke utara, dari sini.

Menurutnya, sokongan ini telah dinyatakan beliau sewaktu mesyuarat ketua-ketua parti GPS dan parti-parti yang bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan oleh Muhyiddin di Putrajaya semalam.

Difahamkan selain Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mesyuarat itu turut dihadiri ketua-ketua parti dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang bersama-sama membentuk GPS.

Ketua-ketua parti dari Bersatu, UMNO, PAS, MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Reformasi Negeri Sabah (STAR) turut menghadiri mesyuarat yang dikatakan berlangsung kira-kira dua jam.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo