NOTIS:
Adun Padungan di Sarawak keluar DAP
Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan DAP, Wong King Wei mengumumkan
bahawa beliau menolak penamaan semula parti itu untuk mempertahankan
kerusi dewan undangan negeri yang disandangnya dan melepaskan
jawatannya sebagai naib pengerusi DAP Sarawak serta keluar dari parti
itu.
"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DAP kerana
menamakan semula saya untuk mempertahankan DUN Padungan pada pilihan
raya Sarawak yang akan datang, yang mungkin akan diadakan dalam waktu
dekat.
"Kerusi Padungan dianggap kepemimpinan dan ahli akar umbi DAP sebagai
salah satu kerusi dengan peluang kemenangan terbaik yang dipegang oleh
parti itu.
"Walaupun begitu, saya dengan berat hati memberitahu bahawa saya
dengan hormatnya menolak tawaran ini - untuk terus mempertahankan
kerusi Padungan," katanya dalam satu kenyataan.
Wong berkata ketika beliau terpilih sebagai Adun DAP, beliau telah
memilih untuk tetap setia kepada pengundinya tetapi berkata membuat
pengumuman sekarang agar DAP dapat membuat persiapan mencari
penggantinya untuk pilihan raya Sarawak yang dijadualkan berlangsung
tahun depan.
Wong berkata beliau kecewa dengan kaedah konfrontasi DAP, menjelaskan
politik bukan hanya tentang melancarkan serangan.
Tuntut kerusi Batu Lintang dari PKR
"Saya ingin menunjukkan bahawa politik bukan untuk melancarkan
serangan antara satu sama lain. Ketika DAP berada dalam pembangkang,
kami sering melakukan hal itu.
"Ketika DAP menjadi sebahagian daripada gabungan parti pemerintah,
kami masih melakukan apa yang biasa kami lakukan. Politik Sarawak
memerlukan beberapa perkara positif untuk melihat negeri Sarawak terus
maju.
Beliau berkata pada awal bulan ini, DAP kembali berselisih dengan PKR
apabila sayap pemuda DAP Kuching menuntut untuk bertanding di kerusi
Batu Lintang pada pilihan raya Sarawak akan datang.
Kerusi itu dimenangi oleh See Chee How dari PKR yang sejak itu
berpaling tadah menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).
"Mengapa kamu melakukan ini kepada sekutu kamu?
"Kenapa tidak boleh duduk berbincang dengan rakan kamu dan selesaikan
hal itu sesama kamu sendiri" soalnya.
Wong juga menyatakan rasa tidak setujunya terhadap serangan pembantu
khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Michael Kong
terhadap Presiden Persatuan Persekutuan Cina Sarawak, Richard Wee
(gambar, bawah) kerana menyatakan bahawa orang Cina bandar lebih
cenderung menyokong GPS pada pilihan raya Sarawak yang akan datang.
"Sukar dipercayai bahawa pemimpin parti tidak dapat menerima ulasan
seperti itu dan Kong perlu menggunakan serangan peribadi terhadap Wee.
"Pada pendapat saya, Wee cuma memberikan komennya mengenai senario
politik, beliau tidak meminta pengundi untuk memilih GPS.
"Sekiranya DAP bahkan tidak dapat mengambil komen yang tidak memihak
kepada mereka dan terpaksa melakukan serangan peribadi, parti itu
sepatutnya bimbang mengenai arah tujuannya," katanya.
Wong berkata, dia semakin muak dengan politik seperti itu dan kecewa
atas arahan parti.
"Pemimpin parti harus mengambil pendekatan inklusif di dalam parti,
meraikan setiap anggota dan mendengar setiap pendapat.
"Tidak semua suara yang bertentangan bererti untuk menjatuhkan anda.
Kadang-kadang, ini dapat berfungsi sebagai jalan ke arah perbaikan dan
tidak semua kenyataan yang menyenangkan itu bermaksud baik kerana
mereka dapat membutakan anda," katanya.
Hilang keyakinan pada DAP Sarawak
Wong berkata tidakannya keluar parti itu dibuat kerana sudah hilang
keyakinan malah kecewa dengan tindakan khasnya DAP Sarawak dalam
menunaikan janji kepada rakyat.
“Saya berasa perit apabila mengingatkan DAP… Dalam tempoh 22 bulan di
bawah Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, apa yang kami katakan dan
janjikan di hadapan rakyat tidak ditunaikan.
“Sekiranya kami ingin membawa semula idea dan impian bahkan janji,
kredibiliti DAP akan dipersoalkan.
“Sekiranya kami kembali kepada apa yang kami mulakan dengan integriti
dan keikhlasan, nampaknya banyak yang DAP perlu jelaskan kepada
pengundi,” jelasnya lagi.
Wong berkata, beliau menyertai DAP pada 2006 selepas tamat pengajian
undang-undang dan pernah menolak tawaran untuk bertanding sebagai
calon DAP dalam pilihan raya.
Beliau kemudian bertanding dalam pilihan raya negeri 2011 dan menang
kerusi Padungan serta mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya negeri
2016.
Wong berkata, beliau berterima kasih terhadap platform dan peluang
yang diberikan DAP kepadanya.
"Saya akan ingat kebaikan ini selama yang saya boleh. Hanya saja saya
tidak lagi menganggap bahawa saya ahli DAP.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana
menyokongnya selama 10 tahun.
"Buat masa ini, saya tidak mempunyai rancangan untuk bergabung dengan
parti politik lain dan saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya
dalam masa terdekat.
"Saya mahu memberi tumpuan kepada amalan saya dalam bidang
undang-undang dan menumpukan lebih banyak masa kepada keluarga saya.
"Saya hanya ingin mengatakan bahawa ini bukan keputusan yang mudah dan
saya harap semua orang akan menghormati keputusan yang telah saya
buat," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment