Tun M makan jerat sendiri?


KUALA LUMPUR: Figura politik Malaysia,Tun Dr Mahathir Mohamad masih ‘galak’ menjerat mangsanya walaupun kini beliau sudah meniti di usia emasnya, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut Ahli Parlimen Bachok itu, Tun Mahathir pada arena politik sebelum ini hanya ‘menjerat mangsa’ di waktu malam, kini beliau giat mencari mangsa walaupun terik matahari cacak di atas kepala.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kemelut dalaman Pakatan Harapan (PH) hari ini yang dilihat seolah-olah tidak berkesudahan.

Ini berdasarkan sokongan DAP dan PAN yang masih setia menyokong Mahathir walaupun sebelum ini PH jatuh dan berpecah disebabkan Tun Mahathir.

“Antara kelebihan politik Tun Mahathir sepanjang masa adalah begitu mudah menjerat mangsanya. Antara kelebihan PAS sepanjang masa adalah sentiasa berjaya melepasi jerat Tun Mahathir.

“Mahathir pada hari-hari tuanya kini, terus mengekalkan hobinya itu dengan galak menjerat mangsanya. Dulu dia menjerat sebelah malam saja. Kini, pada waktu siang panas ‘tang-tang’ pun dia mampu menjerat.

“Peliknya, DAP pun mampu dijeratnya mudah-mudah. Maka, pelik sangatlah kalau Tun Mahathir tak mampu jerat PAN. Itu kacang.

“Nasib baik, DSAI (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) dah serik. DSAI tak perlulah fikir nak jerat balas Tun Mahathir. Tak perlu,” nasihatnya dalam satu tulisannya bertajuk Teh Halia Tarik siri ke 46 pada hantaran di akaun Facebooknya.

Melihat kepada kehidupan Tun Mahathir, Nik Abduh percaya bahawa Tun Mahathir akan terjerat dengan jerat yang dicipta beliau sendiri.

Katanya, Tun Mahathir sudah terjerat dengan kehidupan masa mudanya dahulu dan kini tali-tali itu semakin menjerut dirinya sendiri.

“Itu yang PAS lihat. Nak bantu dia keluar pun, dia dah selesa hidup terjerat dalam kehidupan ciptaan sendiri itu.

“Kehidupan ini, siang dan malam adalah jerat. Beruntunglah mereka yang bercahaya hidayah. Ia mampu menyuluh pada siang dan malam,” kata beliau lagi.

Untuk menentukan Perdana Menteri ke-9 bagi mewakili PH Plus, DAP dan PAN memilih Tun Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Manakala PKR memutuskan untuk menolak Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, sebaliknya memilih Anwar ke jawatan itu jika PH berjaya mengambil alih kerajaan.- HARAKAHDAILY 24/6/2020
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post