NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Meraikan 50 Tahun Rukun Negara Rukun Negara Proklamasi Diraja



oleh:Shamrahayu Aziz

Tulisan yang dikongsi pada paparan kali ini saya nukilkan pada 2 April 2017. Ia telah diterbitkan dalam akhbar Mingguan Malaysia. Tetapi malangnya saya tidak mempunyai salinan terbitan tersebut. Oleh kerana Utusan Malaysia juga telah diberhentikan operasinya, segala maklumat atau terbitan atas talian Utusan Malaysia (termasuk Mingguan Malaysia) juga telah termansuh. Oleh itu saya tidak dapat mencari semula terbitan tersebut atas talian. Harapnya saya dapat menjumpainya nanti dalam timbunan keratan akhbar di pejabat. Saya belum menjenguk pejabat saya sejak PKP – semua aktiviti dan tugasan mengajar dan perundingan bersama pelajar dibuat dari rumah secara atas talian, atau ada sesekali pelajar Ph.D mengunjungi saya di rumah untuk perbincangan.

Untuk foto pada paparan ini saya ambil atas talian dan saya menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada NSTP dan penerbitan di bawah bumbung NSTP.

Tulisan saya kali ini berkaitan cadangan menjadikan rukun negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan. Walaupun perkara ini bukan isu panas, namun, saya mengambil kesempatan untuk berkongsi dengan para pembaca, untuk cuba menghidupkan perbahasan tentang rukun negara. Saya terlintas untuk berkonsi tulisan ini kerana saya sedang membaca lebih lanjut tentang rukun negara. Sedar tidak sedar, pada tahun ini usia rukun negara mencecah 50 tahun, yang mana tarikh proklamasinya adalah pada 31 Ogos 1970. Proklamasi rukun negara berkongsi tarikh yang sama bersama tarikh hari kemerdekaan Tanah Melayu, iaitu 31 Ogos (yang kemudiaannya disertai Sarawak dan Sabah – serta Singapura – pada tahun 1963).

Saya dapati kewujudan rukun negara agak unik kerana tidak banyak negara di dunia yang mempunyai rukun seperti ini. Saya tidak berniat memanjangkan ulasan saya mengenai rukun negara dalam paparan ini. InsyaAllah saya akan membuat paparan lain selepas ini. Sebelum ini saya telah menulis di blog saya tentang istilah "liberal"dalam rukun negara. Para pembaca boleh mengunjungi https://drshamrahayu.com/2020/04/26/liberal-dalam-rukun-negara/ untuk membaca tulisan yang saya maksudkan.

Untuk kali ini, silalah membaca satu aspek berkaitan rukun negara yang pernah menjadi bahan perbahasan dan perbincangan tentang rukun negara di negara kita, iaitu:

RUKUN NEGARA MUKADDIMAH PERLEMBAGAAN
Cadangan sekumpulan masyarakat sivil untuk menjadikan rukun negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan menarik perhatian. Sekitar 2012-2013, cadangan sebegini pernah didengar. Namun sepi selepas seketika.

Sebagai pelajar undang-undang Perlembagaan, setakat ini saya dapati persoalan mukadimah tidak menjadi persoalan besar di Malaysia. Tidak pernah pula kedengaran rungutan hakim tentang kesukaran mentafsir Perlembagaan tanpa mukadimah.

Oleh itu saya tidak begitu pasti kenapa cadangan ini dibuat. Daripada penerangan dan pembacaan, didapati tiga sebab besar kenapa cadangan ini dimajukan. Pertama, perpecahan dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin meruncing kerana dianggap rukun negara tidak dihayati oleh masyarakat. Rukun negara perlu dijadikan mukadimah dengan anggapan ia akan lebih dihayati dan sekaligus memperkukuh perpaduan. Kedua, untuk menjadikan rukun negara sebagai panduan dalam penafsiran Perlembagaan, dan; Ketiga, untuk rukun negara diberi kesahan perundangan.

Sifat Mukadimah Perlembagaan
Kajian menunjukkan tiga kategori sifat mukadimah Perlembagaan di dunia. Mukadimah bersifat simbolik; bersifat tafsiran dan bersifat substantif. Mukadimah bersifat simbolik menyatakan hasrat ruh Perlembagaan, tetapi tidak mengikat; mukadimah bersifat tafsiran ialah mukadimah yang membantu dalam tafsiran Perlembagaan dan mukadimah substantif memberi kesan besar ke atas teks Perlembagaan serta boleh menjadi saluran membawa masuk perkara-perkara yang tidak disebut dalam Perlembagaan. Mukadimah substantif juga berfungsi menjaga struktur asas Perlembagaan daripada pindaan.

Cadangan menjadikan rukun negara sebagai mukadimah Perlembagaan membayangkan tiga sifat mukadimah; Sifat ideal, untuk menyatupadukan rakyat; Sifat tafsiran, untuk membantu penafsiran Perlembagaan, dan; Sifat substantif, memberikan kesahan undang-undang kepada rukun negara.

Mukadimah Perlembagaan di Negeri menyebut Peranan Raja
Dalam negara kita semua Perlembagaan bagi negeri yang mempunyai Sultan mengandungi mukadimah. Namun, Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai mukadimah. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 juga mempunyai mukadimah. Kesemua mukadimah Perlembagaan negeri (termasuk Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948) menyatakan bahawa Perlembgaan telah dimasyhurkan oleh raja-raja. Maksudnya mukadimah ini berkait rapat dengan raja-raja dan sejarah negara.

Saya tidak pasti kenapa Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai mukadimah. Setakat ini saya belum lagi menjumpai apa-apa dokumen yang menyebut atau membincangkan tentangnya. Dokumen seperti Laporan Suruhanjaya Reid tidak menyebut apa-apa berkenaan mukadimah. Walaupun seperti yang dinyatakan di atas semua Perlembagaan (Undang-Undang Tubuh) negeri Melayu yang sembilan itu mempunyai mukadimah.

Disebabkan mukadimah bukan asing kepada Perlembagaan dalam negara kita, maka cadangan ini bukan suatu yang pelik. Ia juga tidak pelik kerana lebih kurang 80 peratus Perlembagaan di dunia mempunyai mukadimah. Sahifah Madinah yang diterima sebagai Perlembagaan pertama di dunia juga mempunyai mukadimah simbolik.

Walaupun cadangan memasukkan mukadimah ke dalam Perlembagaan bukan cadangan pelik, tetapi ia adalah isu besar. Ia isu besar kerana implikasinya mungkin besar. Oleh itu, kita perlu memikirkannya dengan cermat dan mendalam.

Maksud dan Tujuan Mukadimah
Mukadimah, atau preamble ditakrif sebagai pernyataan atau pengenalan, bertujuan memberikan gambaran umum dan ringkas, mencipta semangat kekitaan dan taat kepada Perlembagaan dan menjelaskan kekaburan. Mukadimah menyatakan hasrat akhir Perlembagaan. Maka, mukadimah boleh menjadi pendorong yang kuat kepada Perlembagaan. Tedapat sarjana Perlembagaan berhujah bahawa mukadimah adalah intipati yang membentuk struktur asas dan hasrat Perlembagaan. Justeru, ia berpotensi menyekat pindaan yang mengubah struktur asas Perlembagaan.

Walaupun mukadimah boleh memupuk integrasi dengan membentuk identiti bersama, mukadimah juga berkemungkinan boleh mengakibatkan perpecahan. Mukadimah juga berpotensi menyebabkan ketegangan sosial. Pengalaman tidak baik berkaitan mukadimah sudah didapati pada pengalaman beberapa buah negara di dunia. Pengalaman Macedonea dan Albania menunjukkan perpecahan antara kumpulan majoriti dan minoriti; pengalaman Israel pula berkaitan ideologi dan di Australia, mengenai hak kumpulan orang asli.

Pengalaman Negara lain sebagai Tauladan
Pengalaman negara-negara lain, walaupun mempunyai faktor-faktor berbeza, perlu diberikan perhatian, dijadikan sempadan dan tauladan supaya kita tidak terjebak dalam kesulitan yang tidak perlu. Dibimbangi, bukan kesan baik yang kita dapat, tetapi padah buruk yang kita dapat. Kita tidak mahu menjadi tikus membaiki labu.

Perbezaan Rukun Negara dan Perlembagaan
Perlembagaan Persekutuan adalah hasil perundingan dan toleransi. Ia melalui cabaran getir melibatkan pelbagai pihak, termasuk perkenan raja-raja yang berdaulat, rakyat pelbagai kaum dan status, serta kerajaan British. Rundingan Perlembagaan juga mengambil kira cabaran fahaman komunis serta kegiatan subversif dan sensitiviti. Walaupun beberapa faktor yang dibincangkan semasa proses kemerdekaan juga wujud dalam proses membuat rukun negara, seperti fahaman komunis dan sensitiviti, tetapi sejarah Perlembagaan berkisar tentang isu yang lebih besar, iaitu kemerdekaan dan sifat kedaulatan negara. Bagi mewujudkan rukun negara ia berkisar dalam ketidakseimbangan sosial dan ekonomi serta kesannya ke atas perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dan beberapa kepelbagaian lain, termasuk agama.

Rukun negara diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970 setelah peristiwa 13 Mei 1969. Ia dimulakan dengan lafaz nama Allah; Menegaskan kedaulatan Malaysia; Mengambil perhatian kepelbagaian kaum, budaya dan tradisi; Menyatakan cita-cita mencapai perpaduan yang lebih besar; Berhasrat membentuk kebajikan awam dan keadilan sosial.

Seterusnya rukun negara menjelaskan hasrat mengekalkan cara hidup demokratik bagi mencipta masyarakat adil dan perkongsian harta dengan agihan yang saksama, bersikap liberal terhadap kepelbagaian budaya dan membentuk masyarakat progresif dalam penggunaan sains dan teknologi. Cita-cita dan hasrat negara bersandar kepada lima prinsip; Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada raja dan negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan undang-undang; dan Kesopanan dan kesusilaan.

Secara umumnya pengisian Perlembagaan dan rukun negara tidak banyak berbeza. Rukun negara boleh dikatakan sebagai ringkasan prinsip atau ruh kepada peruntukan yang telah berakar (embedded) dalam Perlembagaan. Selepas peristiwa 13 Mei itu beberapa peruntukan Perlembagaan telah dipinda berkaitan perkara-perkara sensitif, termasuklah Perkara 10(4), 159(5) dan 63(4). Pindaan juga telah dibuat kepada Akta Hasutan.
Namun, persamaan tersebut tidak semestinya membolehkan rukun negara sekaligus dengan mudah dijadikan mukadimah Perlembagaan. Rukun negara tidak diniatkan sebagai sebahagian Perlembagaan. Ia mempunyai tujuan yang lebih spesifik berbanding Perlembagaan itu sendiri.
Berhati-hati Menjadikan Rukun Negara sebagai Mukadimah
Saya berhati-hati tentang cadangan memasukkan rukun negara sebagai mukadimah Perlembagaan kerana faktor sejarah, bahasa serta istilah, dan sifat mukadimah, sama ada sebagai ideal, tafsiran atau substantif. Walaupun ada sedikit persamaan, antara keduanya, tetapi perbezaannya juga ketara.

Sejauh manakah kemurnian idea perpaduan yang ada dalam rukun negara akan berfungsi sebagai mukadimah Perlembagaan? Perkara ini perlu diperjelaskan kerana perkembangan semasa di dunia semakin menampakkan keterikatan teks Perlembagaan kepada mukadimah, terutamanya mukadimah yang berbentuk substantif.

Pengalaman Perancis menunjukkan bahawa hak-hak yang tidak disebut dalam Perlembagaan boleh dimasukkan melalui mukadimahnya. Perkara sama tidak berlaku di India, tetapi pengalaman India juga perlu dijadikan tauladan. Trend yang semakin meningkat di India ialah mukadimah diterima sebagai sebahagian daripada substantif Perlembagaan. Istilah 'social justice' di dalam mukadimah Perlembagaan India, sebagai contoh, telah diterima melalui keputusan mahkamah sebagai sebahagian daripada hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

Kita tidak boleh pandang sebelah mata tentang perkembangan di India kerana istilah 'social justice' juga ada dalam rukun negara, tetapi tiada dalam Perlembagaan secara harfiah. Kita juga perlu perhati perkembangan di India kerana keputusan mahkamah India sering dirujuk oleh mahkamah tempatan dalam banyak keadaan kerana banyak sebab.

Antara perkara lain yang saya khuatir menjadi perbahasan dan punca perpecahan nanti ialah perbezaan istilah dan prinsip dalam rukun negara itu sendiri atau perbahasan tentang peruntukan Perlembagaan serta keputusan mahkamah.

Frasa "democratic way of life" sebagai contoh. Adakah frasa ini akan mempersoalkan prinsip kepercayaan kepada Tuhan atau adakah ia akan memberi kesan ke atas perundangan Islam yang mempunyai pelbagai pengecualian kepada amalan demokrasi, sedangkan teks Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam beberapa kes mengiktiraf kedudukan perundangan Islam. Selain itu, perkataan demokrasi tidak ada dalam Perlembagaan. Maka, sejauh manakah maksud atau perincian demokrasi yang dimaksudkan oleh bait-bait rukun negara tersebut.

Secara perundangannya, tidak salah untuk memasukkan mukadimah ke dalam Perlembagaan walaupun ia telah berusia 60 tahun. Tetapi ia perlu diperkemaskan lagi. Tidak salah juga rukun negara kekal sebagai rukun negara setelah hampir 50 tahun. Tiada yang mempersoalkan kepentingannya, walaupun keberkesanannya masih lagi menjadi tanda tanya

Perlembagaan tidak Terdesak untuk mempunyai Mukadimah
Mukadimah Perlembagaan bukanlah suatu yang mendesak pada ketika ini, tetapi yang lebih mendesak ialah perpaduan dan semangat patriotisme dalam kalangan warga Malaysia. Perpaduan dan semangat patriotisme perlu diperkasa melalui tindakan yang lebih pro-aktif dan efektif semua pihak. Bukan semata-mata pendidikan murid dan pelajar, tetapi juga penjawat awam dan orang awam. Bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, tetapi setiap orang.

Pemerkasaan Rukun Negara
Rukun negara boleh diperkasa dengan menambahbaik pendidikan dan penghayatannya. Kelab Rukun Negara di sekolah perlu diperkukuhkan lagi. Pendidikan guru tentang rukun negara juga amat perlu diperkukuh. Program penghayatan juga hendaklah diperkenalkan di pusat pengajian tinggi awam dan swasta. Pelbagai perkara lain selain daripada menjadikannya mukadimah Perlembagaai boleh difikirkan. Malah peruntukan undang-undang jenayah juga boleh dibuat sekiranya perlu. Pindaan telah dibuat kepada Kanun Keseksaan dengan membuat kesalahan berkaitan demokrasi. Jika perlu, Kanun Keseksaan juga boleh dipinda dengan secara memasukkan kesalahan berkaitan raja berperlembagaan pula.

Rumusan
Sebagai rumusan, menjadikan rukun negara sebagai mukadimah Perlembagaan belum menjamin perpaduan bahkan boleh membuka jalan sukar kepada perpaduan. Seeloknya kita tidak tergesa-gesa.

Sumber: 
https://www.facebook.com/drshamrahayuaziz/posts/129836762060250

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo