NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Parlimen WARISAN nafi keluar parti, sokong PN



Oleh Rafiqah Dahali
bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyangkal dakwaan empat orang Ahli Parlimen dari parti berkenaan keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung WARISAN, Loretto Padua, dalam satu kenyataan berkata perkara itu tidak benar dan hanyalah permainan persepsi oleh PN berikutan takut dengan sokongan yang diberikan kepada PH Plus.

"Permainan ini bukan sahaja dimainkan ke atas ahli parlimen WARISAN tetapi juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar mereka menyokong PN.

"Mereka sudah ketandusan dan berani menjual nama ahli parlimen kononnya mereka telah bersetuju untuk melompat.

"Saya secara peribadi selalu menghubungi mereka dan mereka optimis sentiasa teguh di belakang Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal," katanya.

Dalam satu kenyataan bersama yang berlainan, Ahli Parlimen turut menafikan perkara itu yang tular sehingga dilaporkan dalam sebuah media tempatan.

"Kami dengan tegas menolak khabar angin yang tidak berasas itu dan ingin menjelaskan bahawa laporan dan penyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

"Ahli parlimen WARISAN mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Shafie yang juga ahli parlimen Semporna dan kami terus berdiri teguh di belakang beliau melalui detik sukar ini untuk negara kita.

"Kami tetap fokus pada perkara penting pada masa ini iaitu membantu pengundi kami, negara dan bangsa di samping mengatasi banyak cabaran mengerikan yang dihadapi disebabkan wabak COVID-19 ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong; Datuk Ignatius Dorell Leiking (Penampang); Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu); Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud); Ma'mun Sulaiman (Kalabakan); Ahmad Hassan (Papar) dan Rozman Isli (Labuan).

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/06/698630/ahli-parlimen-warisan-nafi-keluar-parti-sokong-pn

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo