NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kilang tauhu kotor diarah tutup 14 hari


KUALA LUMPUR: Kotor, berbau busuk dan dipenuhi lipas. Itu keadaan sebuah kilang memproses tauhu di Cheras, di sini, ketika penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat pemeriksaan sanitasi di premis itu, semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata dalam pemeriksaan kira-kira jam 10 pagi itu, lima anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL turut menemui hurungan lipas di kilang berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, lantai dan dinding tempat memproses serta menyediakan tauhu di kilang itu kotor dan hitam, manakala tandasnya pula berbau serta berdaki.

"Pengendali pula tidak memakai kasut dan penutup kepala ketika memproses makanan, selain kilang itu didapati tiada melantik syarikat kawalan serangga perosak secara berjadual," katanya kepada BH.

Sehubungan itu, Nor Hisham berkata, premis terbabit diarahkan tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, berkuat kuasa hari ini.

"Jika didapati masih kotor, notis penutupan baharu akan dikeluarkan dan kilang itu berkemungkinan akan dibatalkan lesen.

"Saya menggesa semua pihak yang terbabit dalam pembuatan makanan supaya menjaga kebersihan dan mutu produk.

"DBKL akan memerangi habis-habisan pengeluar yang kotor seperti ini," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/06/700720/kilang-tauhu-kotor-diarah-tutup-14-hari

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo